TAIPING – Polis mengesahkan kisah tular seorang jemaah wanita baru pulang menunaikan umrah meninggal dunia di dalam surau Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang, Khamis lalu dalam laman sosial.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.00 petang apabila mangsa berusia 58 tahun ditemui tidak sedarkan diri ketika berada di dalam surau itu.

“Maklumat daripada pengadu yang juga ejen umrah, mangsa sememangnya tidak sihat, demam dan mempunyai sakit jantung.

“Ambulans dari Hospital Kuala Kangsar yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Siasatan polis juga tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya sewaktu dihubungi media di sini hari ini.

Mohamad berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping susulan itu.

Menurutnya, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Hasil temubual ahli keluarga nendedahkan mangsa merupakan seorang guru di Bertam dan baru bersara pada bulan Julai lalu.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Kisah seorang jemaah wanita yang baharu pulang menunaikan umrah dan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam surau R&R Bukit Gantang, Khamis lalu menjadi tular dalam laman sosial sejak minggu lalu – sinar