TAPAH – Polis Tapah menafikan dakwaan cubaan penjenayah menyamar sebagai kakitangan syarikat elektrik atau air dan merompak rumah penduduk di daerah ini yang menjadi tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, perkara itu sengaja ditularkan dalam laman sosial bagi menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Mereka yang memuat naik kenyataan ini sebenarnya tak ada kerja dan hanya mahu menjadi jaguh ‘keyboard warrior’ walaupun tiada kejadian seperti ini dilaporkan kepada pihak polis.
“Tindakan mereka ini sengaja menakut-menakutkan penduduk di daerah ini walaupun sebenarnya tiada kejadian seperti ini terjadi kerana kita kerap membuat rondaan MPV dan URV,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tular dalam laman sosial yang mendakwa terdapat tiga atau empat lelaki menyamar sebagai kakitangan syarikat air atau elektrik datang ke rumah penduduk sebelum merompak menggunakan senjata.

Menurut Som Sak, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada orang awam mengenai kejadian itu.

Beliau turut menasihatkan orang awam untuk membuat laporan polis jika berlaku sebarang kejadian jenayah bagi membantu pihaknya menjalankan siasatan.

“Setakat ini tiada kejadian seperti yang menjadi tular di laman sosial di dalam daerah ini, namun pihak kami sentiasa bersiap sedia dalam sebarang kemungkinan,” katanya.

-SinarHarian