Sungai Petani: “Saya terkejut diterkam anjing itu yang menggigit lengan kanan saya. Akibatnya, saya menumbuk sekuat hati muka anjing itu menyebabkannya melepaskan gigitan pada lengan saya.”

Begitu kata Muhammad Fahrin Aiman Rosly, 12, yang cedera dan trauma diserang anjing ketika berjalan bersama sepupunya, Syamim Nasir Hamid, 10, ke rumah ibu saudaranya di lorong 2, di Taman Bandar Baru, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, dalam kejadian jam 9 malam, dia dan Syamim ke rumah sepupunya di lorong 3, taman berkenaan untuk mengambil raket badminton.

Katanya, anjing berkenaan meluru keluar sebaik pintu pagar rumah berkenaan terbuka sewaktu penghuninya mengeluarkan kereta.

“Syamim tidak berani berbuat apa-apa kerana terlalu takut dan sebaik terlepas dari gigitan anjing itu kami berlari sambil menjerit meminta tolong dan terus dikejar anjing itu.

-myMetro