KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menumpukan peruntukan pembangunan kepada enam negeri kurang membangun, dalam tempoh dua tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata negeri berkenaan ialah Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Katanya, bawah Pelan Tindakan Ke-4 (2019) RMKe-11, negeri terbabit sudah diperuntukkan sebanyak RM13.2 bilion atau 24.1 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan.

Beliau berkata, jumlah peruntukan itu meningkat 10.6 peratus atau sebanyak RM1.26 bilion berbanding RM11.9 bilion pada 2018.

“Peruntukan itu bagi melaksanakan 349 projek baharu dan 1,696 projek sambungan melalui pelbagai kementerian,” katanya ketika menjawab soalan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) mengenai langkah dirancang untuk membantu negeri yang mundur dan miskin, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, ketidaksamaan ekonomi antara negeri semakin melebar walaupun berlaku trend peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita di semua negeri.

Beliau berkata, ketidaksamaan itu adalah disebabkan perbezaan kegiatan ekonomi antara negeri.

Katanya, Kelantan, Kedah, Perlis dan Sabah didominasi sektor tradisional, iaitu pertanian, mencatatkan jurang KDNK perkapita yang besar berbanding purata nasional sebanyak RM42,228 pada 2017.

Beliau berkata, sebagai contoh, Kelantan mencatat KDNK perkapita paling rendah, iaitu RM13,593 pada 2017 dengan perbezaan sebanyak 67.8 peratus di bawah purata nasional.

“Usaha mengurangkan ketidakseimbangan antara wilayah dan negeri diberi penekanan dalam Tonggak Ke-3 Kajian Separuh Penggal RMKe-11 (KSP RMKe-11), iaitu Menuju Ke Arah Pembangunan Wilayah Yang Seimbang,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, tiga bidang keutamaan dalam KSP RMKe-11 ialah memperkukuhkan pembangunan wilayah, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, serta mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) sama ada Pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Semenanjung dapat meningkatkan jumlah peruntukan kedua-dua negeri itu pula, beliau berkata, pindaan itu tidak sepatutnya hanya dilihat dari segi peningkatan jumlah peruntukan tetapi semua aspek.

“Ia mencakupi kedaulatan kedua-dua negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sebab itulah kita mahu semua Ahli Parlimen sama ada mewakili kerajaan atau blok pembangkang, menyokong pindaan itu,” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung, dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, di Dewan Rakyat, hari ini – Berita harian