PANGKOR– Ramalan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa Barisan Nasional akan kalah besar di Kedah dan Perak, bukan perkara baharu malah sering dikitar semula di setiap Pilihan Raya Umum (PRU).

Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir selaku Pengerusi Barisan Nasional Perak menegaskan, kenyataan Daim itu tidak boleh menjadi penentu kepada keputusan akhir kemenangan.

“Itu bukan perkara baru, saya bukan baru kenal dia Tun Daim, dia selalu meramal di setiap PRU, sebelum ini pun (PRU) sama.

“Saya pun tak tahu, mungkin dia nak jadi dukun yang membaca bola kristal, saya nak tegaskan sekali lagi dia memang suka meramal,” katanya.

Dr. Zambry berkata demikian di program berkempen sekitar Pangkor pada Jumaat.

Beliau selaku calon ADUN Pangkor dan Ahli Parlimen Lumut meneruskan tradisi turun padang, di beberapa buah kawasan di pulau pelancongan itu dengan disertai barisan ahli BN.

Dalam pada itu, beliau mahu menumpukan sepenuhnya fokus kepada gerak kerja dalam beberapa hari yang berbaki sebelum PRU 9 Mei ini.

“Lebih penting untuk kita adalah untuk kerja, saya tidak mahu kenyataan (Daim) menjejaskan semangat dan kerja kita sehingga hari mengundi 9 Mei nanti,” katanya.

Semalam, Daim meramalkan BN akan menyaksikan kekalahan besar di Kedah dan Perak manakala PAS mungkin sekali kalah di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu di Kedah dan Perak, Daim berkata pemimpin yang betul boleh melonjak Pakatan Harapan ke arah kemenangan.

 

BERITA BERKENAANKerjasama PAS, BN Tak Pelik – Hadi