KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, tiba di Istana Negara di sini, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau yang menaiki kenderaan Proton Perdana hitam dengan kenderaan pengiring, dilihat masuk melalui pintu utama Istana Negara, jam 4.40 petang.

Dr Mahathir menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan berhubung perkembangan politik semasa selepas menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu, pejabat Perdana Menteri mengesahkan Dr Mahathir meletak jawatan dan surat diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong jam 1 tengah hari tadi.

Selain meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dr Mahathir ke Istana Negara dengan diiringi beberapa kenamaan termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jam 4.25 petang tadi.

Selang 15 minit selepas itu, beberapa kenamaan lain yang sebelum ini mengunjungi kediaman Dr Mahathir turut dilihat beredar meninggalkan kawasan berkenaan.

Terdahulu, beberapa pemimpin politik dilihat mengunjungi kediaman Dr Mahathir, dipercayai bagi membincangkan isu politik semasa tanah air.

Antaranya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perbincangan berlangsung sejurus Mohamed Azmin, Zuraida dan sembilan lagi Ahli Parlimen menyatakan pendirian keluar daripada PKR serta pengumuman Muhyiddin bahawa BERSATU tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH).