IPOH: Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar mengetuai senarai 333 penerima darjah dan pingat kebesaran negeri pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-60 di Istana Iskandariah pagi Sabtu.

Bekas Ketua Polis Negara keempat itu dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (SPSN) yang membawa gelaran Datuk Seri DiRaja.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, turut menerima darjah kebesaran pada istiadat itu ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong dengan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Katanya, darjah kebesaran yang sama turut diterima Ahli Dewan Negara Perak juga bekas Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dr. Wan Mohammad Zahid Mohammad Nordin.

“Bagi Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, ia dikurniakan kepada Panglima Pemerintah Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli.

“Pada istiadat penganugerahan tersebut, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal menjadi salah seorang penerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM),” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan Darul Ridzuan pada pagi Jumaat.

Menurut beliau, istiadat itu turut menyaksikan seramai 23 orang menerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk penganugerahan secara anumerta kepada Allahyarham Ustaz Abu Bakar Al Baqir.

Jelasnya, antara penerima bagi darjah kebesaran itu ialah Pengarah Pendidikan negeri, Rozi Puteh Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohammad Kamil Shafie; Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr. Noor Azmi Ghazali; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Shahrom Abd. Malik dan Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Asa’ari Mohd. Yazid.

“Sementara itu, empat pegawai tinggi pasukan keselamatan dianugerahkan Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan; Pengarah Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja, Brigedier Jeneral Ahmad Nasir Abd. Rahman; Pegawai Memerintah Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Brigedier Jeneral Dr. Md. Amin Muslan dan Komander Angkatan Bersama 2, TLDM Kem Kukusan Tawau, Laksamana Pertama Syed Zahrul Putra Syed Abdullah.

“Sempena sambutan Hari Keputeraan kali ini juga baginda turut mengurniakan tiga Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 21 Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), sembilan Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 87 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 88 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 88 Pingat Jasa Kebaktian dan empat Pingat Lama Perkhidmatan (PLP),” katanya lagi.