KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh sebelum 5 petang ini di Istana Negara di sini.

Menurut BERNAMA, media dinasihati oleh Istana Negara supaya bersiap sedia untuk membuat liputan upacara itu.

Terdahulu, pada sidang media Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir berkata beliau perlu segera mengangkat sumpah kerana kerajaan baharu perlu ditubuhkan secepat mungkin selepas mandat kerajaan sementara tamat malam tadi.

Pengerusi PH itu menjelaskan semua Ahli Parlimen empat parti gabungan itu serta Parti Warisan Sabah dan beberapa individu bersetuju supaya beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

“Tiada kekeliruan sebenarnya kerana PH sudah pun sekurang-kurangnya memiliki 122 kerusi di Parlimen ketika ini dengan sokongan daripada Warisan.

“Apa yang saya tahu Warisan sangat rapat dengan PH terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan saya sudah menghubungi Datuk Seri Shafie Afdal dua kali pagi ini.

“Shafie memaklumkan kepada saya bahawa dia sudah mengarahkan ahli warisan yang menang 14 kerusi parlimen supaya menamakan saya sebagai PM baharu.

“Jadi, semua ahli Parlimen PH kini sudah pun menandatangani dan mengisytiharkan bahawa mereka menyokong calon yang dipilih oleh parti gabungan ini untuk menjadi Perdana Menteri.

“Anda telah pun mendengar nama calon mereka ialah Dr Mahathir Mohamad.

“Oleh itu kami berharap sebelum jam 5 petang ini, akan berlangsung upacara mengangkat sumpah. Sebab tanpa perdana menteri, tidak akan ada kerajaan, tanpa kerajaan, tidak akan ada undang-undang dan perlembagaan,” katanya pada sidang media tengah hari tadi.

Perkara43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan menetapkan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang anggota parlimen yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir menjelaskan punca utama kelewatan majlis angkat sumpah beliau selaku perdana menteri baharu adalah kerana Yang di-Pertuan Agong kurang jelas mengenai siapa sebenarnya pemimpin nombor satu PH.

“Baginda sebenarnya kurang jelas mengenai siapa sebenarnya memimpin PH sebab itulah saya cuba menjelaskannya malam tadi. Kami bertanding menggunakan logo keadilan tetapi tidak semua calon adalah ahli PKR tetapi mereka adalah ahli PH.

“Justeru itulah baginda menjemput presiden PKR untuk menghadap malam tadi. Jadi inilah salah faham yang berlaku dalam politik,” katanya.

Dr Mahathir juga menolak andaian sesetengah pihak bahawa kelewatan pelantikannya sebagai Perdana Menteri adalah kerana beliau tidak mendapat perkenan Yang di-Pertua Agong.

“Saya tidak tahu mengenai khabar angin mengenai Agong kurang berkenaan terhadap saya tetapi apa yang pasti saya seorang yang baik. Saya mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen dan itulah yang dikehendaki mengikut Perlembagaan.

“Perlembagaan tidak menetapkan syarat pelantikan Perdana Menteri adalah dalam kalangan individu disukai Agong atau tidak sebagainya tetapi ia mestilah daripada kalangan parti mendapat majoriti tertinggi dan itulah peraturannya,” katanya.

Dr Mahathir juga mengesahkan PH akan mengadakan perbincangan bagi menentukan siapakah calon Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri dimenangi mereka dalam masa terdekat – berita harian