KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi digugurkan keahlian mereka daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Empat yang lain ialah Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Berdasarkan surat yang diedarkan kepada media, keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Surat makluman mengenai perkara berkenaan yang bertarikh hari ini, ditandatangani Setiausaha Kerja BERSATU, Muhammad Suhaimi Yahya.

“Maka dengan ini dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU, keahlian YB Tun dalam BERSATU adalah terhenti serta-merta,” demikian menurut surat atas nama Dr Mahathir dan empat yang lain itu.

BERSATU berpecah selepas ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden, mengetuai majoriti pemimpinnya membentuk Perikatan Nasional (PN)

Di ambang krisis berkenaan, Dr Mahathir turut meletak surat jawatan sebagai pengerusi parti, namun ketika itu ditolak oleh MPT BERSATU.

Bagaimanapun pada 19 Mei lalu, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan bahawa peletakan jawatan beliau sebagai pengerusi BERSATU pada 24 Februari lalu adalah sah.

Sehubungan itu, dalam satu surat bertarikh 5 Mei dikeluarkan agensi itu, ROS menjelaskan bahawa pemangkuan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin atas jawatan pengerusi parti itu juga sah sehingga diadakan semula pemilihan pengerusi.

Dr Mahathir juga sebelum ini mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dan duduk di bangku pembangkang bersama empat Ahli Parlimen BERSATU yang lain semasa persidangan Dewan Rakyat, 18 Mei lalu.

Sementara itu, Ahli MPT BERSATU, Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan, menjelaskan pengguguran keahlian lima pemimpin itu adalah mengikut fasal yang jelas termaktub dalam perlembagaan parti dan tidak timbul soal pemecatan seperti dilaporkan.

“Fasal 10.2 Perlembagaan BERSATU adalah jelas bahawa ‘Keahlian seseorang ahli terhenti secara serta merta apabila’ … ‘menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain.’

“Apabila mana-mana Ahli Parlimen BERSATU memilih untuk menyertai kelompok yang bukan bersama parti sendiri di dalam Parlimen, maka secara automatik keahlian mereka gugur dan ia bukan satu perkara mengejutkan,” katanya.

Beliau menyifatkan Dr Mahathir bersama empat pemimpin itu ‘keluar’ dari BERSATU hasil tindakan sendiri.

“Sebagai contoh, apabila seseorang itu dengan sendiri berjalan keluar dari rumah, dia bukan dikeluarkan dari rumah itu, tetapi tindakannya yang menyebabkan dia berada di luar rumah. Itulah yang berlaku dalam kes ini,” katanya.

Mengulas insiden di Parlimen pada 18 Mei lalu, Wan Saiful menegaskan bahawa tindakan lima Ahli Parlimen itu bertentangan dengan amalan mana-mana ahli politik.

“Tidak ada satu parti pun di muka bumi ini yang membenarkan Ahli Parlimennya berada di kerusi yang berbeza dari kedudukan parti di dalam Parlimen. Tolong beritahu parti mana di dunia ini yang pernah benarkan ia berlaku?

“Tiada masalah untuk berbeza pandangan tetapi mestilah (tetap berada) dari blok parti sendiri, bukan dari luar (blok parti),” katanya.

Beliau meminta semua ahli BERSATU kembali memperkukuhkan parti dan menghargai segala sumbangan semua pemimpin berkenaan sepanjang berada dalam parti tanpa menafikan jasa mereka.

Timbalan Ketua ARMADA, Mohd Aizad Roslan dalam satu kenyataan berkata, Syed Saddiq memaklumkan kepadanya belum menerima apa-apa surat atau makluman rasmi berkenaan perkara terbabit.

“Saya berhubung dengan Syed Saddiq dan setakat jam 9.10 malam tadi, beliau menegaskan tidak menerima apa-apa surat atau makluman rasmi mengenai perkara ini.

“Secara peribadi, saya juga tidak dapat apa-apa makluman mengenai mana-mana mesyuarat oleh BERSATU untuk membincangkan status dan kedudukan Syed Saddiq dalam parti. Beliau juga tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin BERSATU,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya ketika dihubungi BH semalam, memberitahu beliau maklum mengenai surat berkenaan.

Bagaimanapun, Marzuki mempertikaikan kandungan surat yang disifatkan tidak menepati perlembagaan parti dan tidak sah, sekali gus semua individu yang dinamakan dianggap masih kekal sebagai ahli BERSATU.