KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta supaya melihat cermin ajaib dan tanya negara mana di dunia yang berlaku paling adil kepada rakyat dalam semua aspek.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, walaupun rakyat hidup di negara yang mengamalkan antara dasar terbaik dunia namun masih terdapat keraguan sejauh mana negara ini adil terhadap rakyatnya sendiri.

Katanya, Dr. Mahathir dan Abdul Hadi selaku pemimpin Melayu Islam perlu mencerminkan diri bagi mengenalpasti kelemahan dan memperbetulkannya sebelum mencampuri urusan negara lain.

Menurutnya, kritikan Dr. Mahathir terhadap Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) baharu India tidak sejajar dengan amalan diplomatik sedia ada.

“Ia jelas bertentangan dengan prinsip dan tujuan yang digariskan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara asing dan jika Malaysia mula mencampuri undang-undang dalaman negara lain, maka ia akan membuka ruang kepada intepritasi mengenai dasar tidak campur tangan antara negara-negara.

“Contohnya mungkin segelintir pihak berpandangan bahawa demokrasi di Malaysia sangat terhad dalam makna sebenar berbanding amalan kebebasan demokrasi di India, maka apakah ia bermakna India atau Singapura mempunyai hak untuk mencampuri urusan dan hal ehwal Malaysia?

“Dalam konteks berkenaan saya rasa Perdana Menteri Narendra Modi akan lebih cenderung dan berminat untuk campur tangan dalam hal ehwal Malaysia menggunakan hujah yang sama yang digunakan dan dipertahankan pemimpin negara kita ke atas India.

“Tak perlu pergi jauh, bukankah Malaysia memberitahu Modi supaya tutup mulut apabila India meminta mengenai Zakir Naik seorang pelarian India yang diberikan Pemastautin Tetap di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menjelaskan, kewarganegaraan di Malaysia dibahagikan antara Bumiputra dan bukan Bumiputera.

Oleh itu, dakwanya, hak istimewa yang diperuntukkan untuk Bumiputera walaupun telah diterima dan dipersetujui bukan Bumiputera, ia kekal menjadi double standard dalam konteks kesamarataan seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, berlandaskan perkara ini semua pihak harus mengelak diri daripada mengkritik negara lain yang sebenarnya membawa kritikan pada diri kita sendiri.

Dalam soal pelaksanaan tulisan Jawi, katanya,kaum India tidak pernah meminta pemeblajaran bahasa Sanskrit dilaksanakan.

Berikutan itu, Vikneswaran mempersoalkan kewajaran memperkenalkan Jawi di sekolah-skeolah vernakular.

Katanya, setiap warga negara dibenarkan untuk mengetengahkan pandangan mereka terhadap dasar kerajaan dan terpulang kepada kerajaan untuk menentukan sama ada pandangan itu dipertimbangkan. – MalaysiaGazette