TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini memohon maaf pada keluarga mangsa tragedi Memali atas keceluparannya yang menyebut mereka yang terkorban pada 1985 itu, sebagai ‘mati katak’.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri ketika insiden itu berlaku, menjelaskan kata-katanya itu adalah bagi membalas tuduhan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadapnya.

“Dalam ucapan, saya kadang-kadang tersilap kata. Saya minta maaf jika saya menyebabkan kemarahan orang-orang tertentu.

“Sebenarnya, saya bercakap mengenai Memali kerana Hadi lebih awal lagi menuduh saya terbabit dengan kematian polis dan orang ramai dalam peristiwa Memali.

“Baru-baru ini, dia (Hadi) berkata macam-macam terhadap saya, termasuk (mendakwa) saya diperalat oleh DAP, selain dia berkata PAS tidak pernah mengkafirkan UMNO.

“Ini semua orang tahu, bahawa PAS memang mengkafirkan UMNO, sebab itu saya perlu jawab, (namun) mungkin perkataan saya itu terkasar. Saya minta maaflah kepada keluarga yang terbabit dalam kejadian Memali,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Semalam, ketika berucap pada Ceramah Perdana bersama Calon PKR Lembah Pantai di pekarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Kuala Lumpur, Dr Mahathir mendakwa 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 19 November 1985 sebagai ‘mati katak’, bukan mati syahid.

Peristiwa Memali yang berlaku di Kampung Memali, Baling, Kedah, itu menyaksikan pertempuran anggota keselamatan dengan penduduk kampung dan pengikut Ibrahim Libya sehingga mengorbankan Ibrahim dan 17 yang lain termasuk empat anggota polis, berpuluh-puluh lain cedera serta beratus-ratus orang ditahan.

Dalam video berdurasi 2 minit 36 saat itu, Dr Mahathir menekankan bahawa Abdul Hadi adalah individu bertanggungjawab yang membawa kepada kematian penduduk kampung dan anggota polis.

“(Jika) Hadi tidak berkata bahawa seseorang itu mati syahid bila melawan kerajaan, maka tentu tidak berlaku kes Memali.

“Ia berlaku kerana kepercayaan bahawa kematian apabila membunuh polis kerajaan adalah mati syahid, sedangkan al-Quran secara terang mengatakan kita tidak boleh membunuh dan tidak boleh membunuh orang Islam.

“Sebab itu saya marah kepada Hadi, saya tak marah kepada orang lain. Hadi yang membawa kepada kematian ini, bukan saya. Saya tidak terbabit, ini tindakan polis,” katanya sambil sekali lagi memohon maaf – hmetro

 

BERITA BERKENAAN : Isu bukit botak belum selesai