SHAH ALAM –¬†¬†Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memperjelaskan dakwaan beliau menghina graduan yang menjadi pemandu Uber dan penjual nasi lemak.

Tun Mahathir menjelaskan, graduan yang memilih pekerjaan itu sebenarnya tiada pilihan dan ia dilakukan demi menyara kehidupan mereka selepas tamat pengajian.

“Sesiapa yang memang memilih untuk menjadi pemandu Uber, saya ucapkan tahniahlah.

“Tetapi bagi mereka yang tiada pilihan, mereka harus memandu Uber dan menjual nasi lemak kerana dasar ekonomi yang menghimpit masa depan graduan negara ini,” katanya menerusi penjelasan yang dikongsi menerusi siaran langsung Facebook, hari ini.

Rabu lepas menerusi ‘policy talk’ kedua yang disiarkan secara langsung di Facebook, Tun Mahathir didakwa mengeluarkan kenyataan menghina graduan membawa Uber dan menjual nasi lemak.

Tun Mahathir didakwa berkata, siswazah yang bekerja sebagai pemandu Uber atau menjual nasi lemak tidak boleh dibanggakan sebaliknya mereka ini yang terlatih sepatutnya bekerja menggunakan kebolehan, ilmu dan kecekapan yang mereka peroleh.

Tun Mahathir juga menganggap mana-mana graduan yang dihantar ke universiti semata-mata untuk menjadi penjual nasi lemak atau pemandu Uber adalah pendapat kurang siuman.

“Masuk universiti dan ambil jurusan kejuruteraan dan sebagainya, kemudian keluar daripada universiti, jual nasi lemak.

“Terpulanglah jika rasa ia cara yang betul, sepatutnya mereka ini keluar daripada universiti dan gunakan ilmu yang didapati daripada pusat pengajian ke jalan yang betul,” katanya lagi. -Sinar