BAGAN DATUK: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Tun Dr Mahathir yang menyifatkan pencalonannya sebagai satu paksaan mencerminkan peribadi sebenar Presiden Parti Peribumi itu yang tidak konsisten.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata tingkah laku Dr Mahathir juga sedikit sebanyak menjelaskan sikap sebenarnya dalam mengendalikan urusan penamaan calon tersebut.

Jelasnya, sebelum ini Pakatan Harapan (Pakatan) telah sebulat suara menamakan pengerusinya, Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sekiranya mendapat mandat rakyat utuk membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang.

“Apabila pengumuman dibuat bahawa kononnya Pakatan telah menamakan beliau, hari ini apabila ada komen sebaliknya, Tun M kata pencalonan beliau dipaksa.

“Saya amat menghargai Tun M yang secara konsisten tidak konsisten atau consistently inconsistent (dalam hal ini),”katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis Perasmian Penutup Program Multaqa Permuafakatan di Dewan Datuk Mohamed Jamrah, Batu 17, Sungai Sumun dekat sini hari ini.

Pakatan dilaporkan bersetuju menamakan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah di Konvensyen Pakatan Harapan Ke-2 yang berlangsung di Shah Alam pada 7 Januari lepas.

Katanya, kerajaan pimpinan Pakatan juga akan berusaha mendapatkan Pengampunan Diraja agar Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara dapat dibebaskan segera dan seterusnya dicalonkan menjadi Perdana Menteri ke-8.

“Saya tidak mahu masuk campur soal parti, politik orang lain tetapi itulah pandangan saya,”ujarnya lagi.