PETALING JAYA : Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa terdesak dan mendahului pendapatnya berhubung penyelesaian kemelut politik negara.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, berkata tindakan Dr Mahathir tidak tepat mengikut sistem peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Dr Mahathir agak terdesak, mendahului pendapat beliau sendiri, dari segi peraturan dan undang-undang tidak tepat.

“PH (Pakatan Harapan) sentiasa ikut keputusan rakyat demi perpaduan rakyat Malaysia.

“Kita berharap rakyat boleh menunggu keputusan Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat tergempar Majlis Presiden PH, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai inti pati mesyuarat itu, Husam berkata, perbincangan berkisarkan mengenai kenyataan Dr Mahathir berhubung kemelut politik terkini dan sidang Dewan Rakyat pada 2 Mac ini yang akan memilih Perdana Menteri baharu.

“Malam ini bincang mengenai kenyataan Tun M dan sidang Parlimen akan datang,” katanya. -BH