KOTA BHARU 17 Jan. – Pas tidak akan melayan cabaran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya membuat pilihan sama ada menyokong beliau atau Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon Perdana Menteri.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, mereka berdua bukan calon Perdana Menteri pilihan Pas kerana parti itu mempunyai calonnya tersendiri yang akan diputuskan apabila sudah tiba masa yang sesuai.

Dalam masa sama, beliau menempelak Dr. Mahathir yang dilihat sudah tidak sabar mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

“Walaupun dia ada jasa dan peminat sendiri, tetapi bagi saya, zaman dia sudah berlalu. Kita ambil contoh pemain bola yang hebat, apabila zaman dia berlalu, orang sudah tidak pilih dia bermain untuk pasukan.

“Dalam konteks Dr. Mahathir ini pun sama. Bila sampai satu tahap, orang sudah tidak pilih kerana zaman dia sudah berlalu,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohd. Amar mengulas me­ngenai tindakan Dr. Mahathir mencabar Pas menyatakan pendirian sama ada menyokong beliau atau Najib sebagai calon Perdana Menteri semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau menyelar Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa sasaran Pas untuk memenangi 40 kerusi dalam PRU-14 sebagai petanda awal kerjasama parti itu dengan Barisan Nasional (BN).

Menurut Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar, Mahfuz mungkin keliru dan me­nyangka Pas hanya mahu memenangi 40 kerusi sedang­kan angka itu adalah sasaran minimum semata-mata dan parti itu berharap dapat memenangi lebih daripada jumlah itu.

“Mahfuz ini sentiasa keliru, keliru dengan pendirian parti, keliru dengan Presiden. Sebab itu dia keluar parti,” katanya.

Ditanya tulisan Datuk A. Kadir Jasin dalam blog kononnya Pas diberi laluan mudah untuk menang di Kelantan sebagai sebahagian daripada bentuk kerjasama UMNO-Pas, Mohd. Amar menyifatkan laporan tersebut sebagai mengarut.

“Ini mengarut. Tajuk pun khabar angin, bagaimana orang macam Kadir boleh bercakap tentang khabar angin. Kalau nak bercakap tentang khabar angin, kita pun ada dengar macam-macam khabar angin.

“Kita dengar ada pakatan sulit antara PPBM dengan UMNO. Selepas PRU-14, PPBM akan bergabung semula dengan UMNO dan kekal berkuasa. Kita juga de­ngar Dr. Mahathir berpakat dengan Najib. Tetapi ini semua khabar angin,” katanya.

-UTUSAN ONLINE