KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa menjalinkan kerjasama dengan Lim Kit Siang bagi membolehkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menggunakan logo DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, berkata Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, terdesak akibat kegagalan meraih sokongan pengundi Melayu.

“Saya setuju dengan kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa Dr Mahathir dan Mukhriz akan bertanding atas tiket DAP pada PRU-14.

“Hal ini menyebabkan ketidakpuasan hati banyak pihak dalam PPBM dan menjadikan Dr Mahathir tidak lagi popular dalam kalangan ahli parti itu.

“Justeru, itu, wujud kerjasama antara Dr Mahathir dan Kit Siang bagi membolehkan Dr Mahathir berpayungkan logo DAP pada PRU akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairul Azwan berkata, semua pihak maklum Dr Mahathir tidak berpegang kepada sebarang prinsip kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sentiasa percaya matlamat menghalalkan cara walaupun ia adalah pengkhianatan terhadap ahli dan parti.

Semalam, Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), mendakwa Dr Mahathir dan Mukhriz bakal bertanding atas tiket DAP.

Tindakan itu dikatakan berikutan PPBM gagal mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu, khususnya di kawasan ingin ditandingi -msn