PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada sesi pendengaran Suruhanjaya Diraja Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing BNM yang bersidang di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau dilihat duduk di kawasan orang awam di kamar Mahkamah Rayuan 6 sejurus tiba pukul 9.05 pagi tadi.

Dr Mahathir meninggalkan kamar prosiding pukul 10.40 pagi selepas hampir dua jam mengikuti perjalanan kes tersebut.

Pada ketika ini, saksi keempat prosiding, Wong Yew Sen sedang memberi keterangan kepada panel di mana beliau bertugas sebagai Pengurus Jabatan Audit Dalaman, Bank Negara Malaysia (BNM).

Antara yang dinyatakan beliau adalah tindakan bekas penasihat BNM pada ketika itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang didakwa salah mentafsir unjuran mata wang Dolar Amerika.

“Ya, saya sendiri yang bertemu dan menemubual Nor Mohamed untuk menyiapkan laporan audit dalaman.

“Dia ada menyatakan bahawa mata wang Dolar Amerika akan jatuh, namun jangkaan beliau meleset,” katanya kepada panel.

Prosiding yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan dijangka berhenti rehat 1 petang nanti dan akan bersambung semula pukul 2 petang.

Mohd Sidek yang juga Pengerusi Petronas, dibantu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

-AstroAwani