KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri yang memfailkan saman untuk mendapatkan semula cukai tambahan RM1.69 bilion daripada Najib Razak, mahu bekas perdana menteri itu membayar tunggakan itu sebelum mencabar mereka di mahkamah.

Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata malang sekali kerana kes “bayar sekarang dan bincang kemudian” mungkin membawa kesan buruk kepada anak guamnya.

“Jumlah RM1.69 bilion itu akan menyebabkan anak guam saya bankrap dan membatalkan kelayakannya sebagai ahli Parlimen,” katanya selepas menghadiri pengurusan kes melalui sistem e-review.

Najib menjadi ahli Parlimen Pekan sejak 1976, kecuali ketika beliau menjadi Adun Peramu Jaya dari 1982 hingga 1986.

Katanya, Najib akan memfailkan penangguhan prosiding sementara menunggu taksiran cukai itu diselesaikan.

Pengurusan kes berikut ditetapkan pada 30 Ogos ini.

Pada 25 Jun lalu, LHDN memfailkan saman meminta Najib membayar RM1,692,872,924.83 yang didakwa dihutangnya dari 2011 hingga 2017.

LHDN menyerahkan Writ saman itu kepada Najib sebagai defendan tunggal pada 4 Julai lalu.

Saman itu difailkan selepas Najib gagal membayar taksiran cukai tambahan sebanyak RM1.47 bilion dalam tuntutan asal LHDN pada Mac lalu.

Ini menyebabkan pertambahan 10% atau RM147 juta pada April lalu dan tambahan kompaun 5% sebanyak RM80 juta pada Mei.

Tambahan 10% dikenakan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, selepas Najib gagal membayar RM1.47 bilion dalam 30 hari dari tarikh notis taksiran dikeluarkan.

Najib juga gagal membayar jumlah baru itu dalam 60 hari di bawah akta sama yang menyebabkan kenaikan kompaun sebanyak 5%.