KOTA KINABALU: Seorang pelajar kolej dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu, Ogos lalu.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus memerintahkan Mohamad Azimin Simin, 21, menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara setahun, sekiranya gagal membayar denda, manakala bagi pertuduhan kedua kerana tidak memiliki lesen mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan, Mohamad Azimin diperintahkan membayar denda RM700.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menunggang motosikal secara melulu dan tiada lesen, ketika ditangkap dalam operasi Ops Samseng Jalanan di Jalan Papar-Kota Kinabalu, berhampiran Putatan, pada jam 2.50 pagi, 5 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 26 akta yang sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik Kota Kinabalu, Inspektor Mohd Firdaus Che Mustafa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh meminta hukuman diringankan kerana masih belajar dan ini kesalahan pertamanya – berita harian