IPOH – Kerajaan Perak masih belum menerima laporan anggaran keluasan sebenar keseluruhan sawah padi di daerah Kerian yang ditenggelami banjir, baru-baru ini.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Perladangan dan Pertanian Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, keputusan bancian keseluruhan dikendalikan Jabatan Pertanian daerah Kerian masih ditunggu pihaknya untuk dibincangkan di peringkat kerajaan negeri dan pusat.

Menurutnya, proses merekodkan jumlah keseluruhan sawah padi berdepan sedikit kesulitan kerana pihaknya difahamkan ada kawasan sawah padi dikenal pasti ditenggelami banjir, namun benih padi masih hidup selepas banjir pulih.

“Kita belum boleh kenal pasti jumlah keluasan sebenar sawah padi musnah akibat banjir kerana difahamkan ada beberapa lot sawah padi tenggelam, masih hidup setelah air kembali surut beberapa hari lalu.

“Ada juga sawah padi yang terjejas keseluruhannya, kakitangan Jabatan Pertanian kini masih giat meninjau lokasi sawah padi terjejas banjir dan kita berharap jumlah sebenar keluasan itu dapat diketahui secepat mungkin,”katanya kepada media di sini hari ini.

” Juga tidak dinafikan ada sawah padi yang musnah keseluruhannya dan difahamkan sehingga petang tadi kakitangan jabatan terlibat masih meninjau lokasi bagi merekodkan jumlah sebenar keluasan sawah padi yang musnah,” katanya dihubungi media.

[ARTIKEL BERKAITAN: 60 hektar sawah padi di Kerian ditenggelami banjir]

Menurutnya, satu perbincangan tuntas mengenai cadangan bantuan bersesuaian kepada pesawah terjejas banjir akan dilaksanakan sama ada di peringkat kerajaan negeri dan pusat.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan sawah padi di Kampung Parit Mat Keling, Bagan Serai mendapati terdapat sebahagian sawah padi yang masih tumbuh benih padi meskipun ditenggelami banjir dan ada juga yang terpaksa memulakan proses penamnaman padi kali kedua.

Seorang pesawab hanya dikenali Fazly, 40, berkata, dia menanggung kerugian hampir RM 1,000 kerana terpaksa menggembur semula tanah, membeli benih padi dan kos upah.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan bentuk bantuan bersesuaian kepada pesawah kerana majoriti kami yang memulakan proses penanaman padi kali kedua menggunakan kos sendiri malah ada berhutang,”katanya – sinar