PENGKALAN HULU: Anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) terpaksa mengejar kenderaan pacuan empat roda (4WD) selepas pemandunya melanggar sekatan jalan raya di Kilometer (KM) 4.5 Jalan Pengkalan Hulu-Betong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, pemandu kenderaan langsung tidak mengendahkan arahan anggota AKSEM agar berhenti, sebaliknya terus memecut ke arah Betong menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengejarnya.

Komander AKSEM Pengkalan Hulu, Asisten Superintendan Kasturi Othman, berkata anggotanya yang mengejar 4WD terbabit terpaksa memberi amaran sebelum pemandunya akur dan memberhentikan kenderaan.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit dipandu seorang lelaki berusia 40-an bersama isterinya, 34, dan seorang anak berusia empat tahun.

“Lelaki terbabit mendakwa dia adalah anggota polis negara jiran dan turut menunjukkan kad kuasanya.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemui 14 bungkusan dipercayai daun ketum di dalam beg yang diletak di bawah tempat duduk penumpang hadapan kenderaan,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Kasturi berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui 20 peluru hidup dan suspek mengaku semua barangan itu adalah untuk kegunaan sendiri.

“Kita terpaksa menahan dan membawa tiga beranak itu ke Pejabat AKSEM Pengkalan Hulu sebelum mereka diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu untuk siasatan lanjut.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methapethamine dan dia sudah direman empat hari mulai semalam, bagi membantu siasatan,” katanya.

Jumlah rampasan kenderaan dan daun ketum dianggar mencecah RM100,000.