KUALA LUMPUR: Zulfadli Zulkifli kini berpeluang mempertahankan diri atas dakwaan terbabit dengan kesalahan mengatur perlawanan dengan peluang berkenaan perlu dimanfaatkannya sebaik mungkin.

Jika sebelum ini pemain badminton profesional itu berkeras menafikan terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan itu selain mendakwa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjatuhkan hukuman tanpa bukti kukuh, jadi peluang sedia ada itu menyediakan ruang terbaik untuk dia mempertahankan diri dengan fakta sebenar.

Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Kenny Goh secara peribadi merasakan alasan diberikan pemain berusia 25 tahun itu ketika sidang medianya, minggu lalu adalah kurang menyakinkan dan berharap Zulfadli mampu menunjukkan bukti kukuh sepanjang proses rayuan nanti.

“Bagi saya, hak Zulfadli untuk mengemukakan rayuan kepada BWF bagi mempertahankan dirinya. Namun, saya percaya ia bukan sesuatu yang mudah kerana seperti kita ketahui, BWF sudah mengemukakan bukti yang kukuh dan terperinci.

“Saya sendiri kurang yakin dengan alasan Zulfadli ketika dia menjelaskan situasi dialaminya ketika sidang media sebelum ini. Jadi, apabila rayuan sudah dibuat nanti, saya berharap Zulfadli akan menunjukkan bukti kukuh untuk membuktikan yang dia benar-benar tidak bersalah,” kata Kenny ketika dihubungi, hari ini.

Kenny mengulas mengenai perkembangan terbaru kes itu yang menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Zulfadli tidak perlu membayar denda dikenakan bagi mengemukakan rayuan kepada BWF.

Sebaliknya, denda dikenakan itu hanya perlu dibayar selepas proses rayuan selesai.

BWF mengenakan hukuman gantung 20 tahun serta denda AS$25,000 (RM98,000) terhadap Zulfadli selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.

Seorang lagi pemain profesional, Tan Chun Seang turut didapati bersalah dengan kegiatan mengatur perlawanan dan digantung 15 tahun serta denda AS$15,000 (RM59,00).

Bagaimanapun, Zulfadli dalam sidang medianya menjelaskan BWF menjatuhkan hukuman tanpa bukti yang kukuh selain menegaskan perbualannya dengan Chun Seang menerusi aplikasi Whatsapp yang dijadikan bukti utama badan induk dunia itu hanya perbincangan mengenai penajaan dan aktiviti mereka di kasino.

Mengulas lanjut, Kenny yang juga bekas Pengurus Besar BAM, berkata adalah lebih baik Zulfadli mengaku bersalah daripada memberikan alasan yang tidak dapat diterima masyarakat umum terutama mengenai aktivitinya di kasino.

“Kalau dia mengaku bersalah, mungkin banyak pihak bersimpati dan memudahkan lagi rayuannya nanti,” katanya – berita harian