KUALA LUMPUR : Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita di atas penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan dakwaan menghina Seri Paduka dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam laman sosial Twitter milik Seri Paduka yang diaktifkan semula, Tunku Azizah malah berasa murka atas berita penahanan itu walaupun pernah menitahkan pihak istana supaya memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa menghina baginda.

“Namun begitu, hari ini saya berasa kecewa apabila pihak polis telah menahan beberapa individu. Selama ini, saya dan Al-Sultan Abdullah tidak pernah membuat laporan polis mengenai perkara buruk yang dikatakan kepada kami. Ini adalah negara yang bebas.

“Afzan (Tengku Puteri Afzan Aminah) kejut saya tadi (beritahu) polis tangkap dua orang, saya sedih serta marah dan terus mengaktifkan semula Twitter. Tidak ada niat saya supaya mereka itu ditangkap polis, saya sendiri beritahu pihak istana untuk memaklumkan pihak polis jangan ambil tindakan. Saya ulangi sekali lagi, saya menyahaktifkan Twitter bukan disebabkan mereka!,” titah Seri Paduka dalam ciapan di akaun Twitter @cheminahsayang, hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Azizah turut mengharapkan supaya semua pihak bertenang dan tidak membuat tindakan melulu.

as i said, i deactivated not bcos i was upset by comments made but for personal reasons .. BUT TODAY I M TRULY UPSET THAT POLICE HAVE DETAINED THOSE PEOPLE … thru the yrs, my husband n i have never made any police report on bad things said about us … its a free country…

— azizah iskandar (@cheminahsayang) September 13, 2019

“Tenang semua. Macam yang selalu anak perempuan saya beritahu, ‘tenang mama’ apabila saya berasa kecewa.

“Walaupun selama ini saya dan suami dikeji, dituduh, dihentam, dimaki hamun dalam cari.com. Kami berdua tidak pernah membuat laporan polis dan saya tak sedih malah ketawa apabila membaca kerana Allah tahu siapa saya!,” titah Seri Paduka.

Ciapan Tunku Azizah itu menarik perhatian warga maya apatah lagi keputusan Seri Paduka ‘meninggalkan’ laman sosial Twitter selepas beberapa hari mengundang kejutan ramai.

Afzan kejut saya tadi ” mama polis tangkap 2 orang !” , sy sedih & MARAH & terus activate kan twitter ,tdk ada niat sy supaya mereka itu di tangkap polis, sy sendiri beritahu pihak istana utk beritahu pihak polis jgn ambil tindakan , i repeat again, i dectivated not bcos of THEM

— azizah iskandar (@cheminahsayang) September 14, 2019

Salah seorang pengguna Twitter, @JunaidiAdnan2 turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Daulat Tuanku. Kita semua rakyat Malaysia sokong Agong & Permaisuri Agong, apa jua yg baginda lakukan. Untuk kita semua rakyat Malaysia. Semoga Baginda berdua terus diberi kesihatan yang baik, dilanjutkan usia dan diberi keberkatan dalam hidup. Insya-Allah,” ciapnya.

Sementara itu, seorang lagi warga maya, @possibilities80 turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengikut emosi sehingga melakukan sesuatu di luar pertimbangan.

“Jadi kawan-kawan sekalian, kita ini sayang memang sayang sangat kepada Raja Permaisuri Agong tapi kurangkan emosi kurang stabil yang menyebabkan hilang pertimbangan dan kewarasan.

wpun selama ini sy dan suami di keji, dituduh, dihentam , dimakihamun dlm https://t.co/GDYptjSNsO…. kami berdua tdk pernah buat polis report ….. dan sy tak pernah sedih malah ketawa bila baca … kerana Allah tahu sy siapa !

— azizah iskandar (@cheminahsayang) September 14, 2019

“Kita tenang seperti Raja Permaisuri Agong juga okay? Daulat Tuanku!,” katanya dalam balasan kepada ciapan Tunku Azizah.

Semalam, anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Afzan dalam laman Twitter miliknya berkongsi tulisan Tunku Azizah yang menitahkan supaya orang ramai tidak membuat laporan polis terhadap pihak-pihak yang membuat komen negatif terhadap baginda.

Dalam titah baginda, Tunku Azizah menjelaskan akaun Twitter miliknya @cheminahsayang tidak dinyah aktif kerana sedih atau marah tetapi disebabkan oleh hal-hal peribadi.

Titahnya, tindakan itu dibuat bukan disebabkan oleh pembulian siber bahkan baginda tidak membaca atau sedar tentang komen yang dimuat naik tersebut.

Warga maya baru-baru ini melancarkan kempen dengan tanda pagar #AmpunTuanku bagi ‘memujuk’ Raja Permaisuri Agong mengaktifkan semula akaun Twitter rasminya yang kononnya dinyahaktif ekoran komen-komen negatif dan biadab daripada segelintir pengguna media sosial.

Bagaimanapun, selepas isu itu menjadi tular sehingga menerima kecaman warga maya dalam Twitter dan laporan polis dibuat, seorang pemuda yang mengeluarkan kata-kata biadab terhadap Tunku Azizah tampil membuat permohonan maaf kelmarin.

Pihak polis turut dilaporkan telah menahan Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath, malam tadi berhubung dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.