ALOR SETAR 12 Sept. – Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah diisytiharkan sebagai Sultan Kedah baharu di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini.

Pengisytiharan itu dibuat setelah kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit pukul 2.30 petang semalam.

Pengumuman pengisytiharan pelantikan itu dilakukan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sejurus sebelum jenazah Almarhum Tuanku Abdul Halim dibawa keluar untuk istiadat pemakaman.

Pemilihan raja pemerintah baharu ditentukan menerusi Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja setelah kemangkatan Sultan Kedah.

Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 November 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat kegeringan.

-Utusan Online