LUMUT – Kapal pertama daripada enam unit Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang siap dibina dan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela dilancarkan di Pangkalan TLDM, di sini hari ini.

Upacara penamaan dan pelancaran kapal itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Pasangan Diraja itu serta tetamu kehormat turut menyaksikan pelepasan kapal tempur berkenaan ke laut buat pertama kalinya.

4cd6e077-dd36-4cc7-8e8b-428b73fb02ccTurut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

Enam LCS itu dibina oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BN Shipyard), anak syarikat Boustead Holdings Berhad dan syarikat sekutu Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dengan kos RM9 bilion.

Kapal LCS itu mempunyai keupayaan peperangan empat dimensi dengan daya tahan lasak mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta sistem pengurusan peperangan terkini.

Antara ciri utama kapal itu ialah mempunyai kelajuan maksimum sehingga 28 knot dengan panjang keseluruhan kapal 111 meter serta dilengkapi beberapa senjata utama seperti sistem pelancar torpedo, sistem pelancar misil antipermukaan, sistem pelancar misil antiudara dan meriam kaliber sederhana bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.

Sementara itu, Hishammuddin berkata perolehan nama Maharaja Lela dipilih sempena nama Dato’ Maharaja Lela yang merupakan pahlawan Melayu tersohor tanah air yang memimpin perjuangan rakyat Perak bagi menentang penguasaan British di negeri ini.

Beliau berkata kapal tempur pertama itu membuktikan keupayaan dan kemampuan anak tempatan untuk bersaing dalam industri berat, khususnya teknologi ketenteraan.

cad851d5-39b6-4a00-91c0-a1a167607bed

“Ini kerana LCS pertama ini merupakan kapal kelas frigat yang pertama dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Ahmad Ramli pula berkata, kapal itu adalah kapal tempur terbesar dalam Armada TLDM kerana mempunya reka bentuk senyap atau ‘stealth’ dan sulit untuk dikesan oleh peralatan radar.

“BN Shipyard berjaya membuktikan kemampuan negara untuk membina kapal perang berteknologi tinggi, setanding dengan kapal perang dimiliki negara maju,” katanya.

Beliau berkata, kapal pertama itu amat istimewa kerana dibina sepenuhnya di limbungan BN Shipyard dengan menggunakan tenaga kerja dan kepakaran tempatan.

“Kapal tempur pertama itu akan diserahkan kepada TLDM pada April 2019 setelah menjalani proses ujian di pelabuhan dan di laut serta ujian penembakan,” katanya. – Bernama