SERI ISKANDAR: Tuntutan gantirugi pertunangan boleh dibawa ke Mahkamah Syariah untuk mendapat keadilan, sekiranya salah satu pihak ingkar menunaikan janji untuk bernikah.

Menurut Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Mohammad Esham Abdul Samad, segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan, contohnya bayaran katering, deposit peralatan pengantin dan sebagainya, boleh dituntut di mahkamah Syariah.

”Mahkamah akan menilai dan menentukan sendiri kerugian sebenar yang dialami pihak yang membuat tuntutan,’’ katanya semasa bercakap pada Forum bertajuk ” Pendamaian Adalah Yang Terbaik” sempena Program Permukiman Perak Tengah di Masjid Ghufraniah Titi Gantung, Bota Kanan malam tadi.

Menurut beliau, sebenarnya mahkamah syariah memberi ruang dan peluang kepada pihak-pihak yang mempertikaikan isu penceraian, termasuk pasangan yang masih dalam tempoh perkahwinan dan yang telah bercerai.

”Jangan kita anggap bahawa mungkin kita selesa tidak mengharapkan mahkamah, sebenarnya masa sekarang inilah kadangkala ada isu-isu kita rasa kita kena bawa ke mahkamah sebab itu adalah jalan yang terbaik untuk kita mendapat keadilan,’’ katanya.

Beliau memberitahu bahawa kaedah Sulh iaitu konsep penyelesaian pertikaian di luar mahkamah semakin mendapat sambutan daripada masyarakat Islam.

Menurut Esham, kaedah itu merupakan alternatif kepada perbicaraan yang kebiasaannya memakan masa yang lama dan melibatkan kos tinggi.

”Sekadar kita berbincang di antara pihak-pihak di ketuai oleh seorang pegawai daripada mahkamah untuk mencari kata sepakat supaya apa-apa yang dituntut itu diselesaikan dengan cara baik dalam situasi “menang-menang” tanpa membuang duit dan perlu berulang-alik ke mahkamah,” katanya”.

edbb007c-427e-4f63-a532-7e5b6b39bd53