Nama :  Dr Amiruddin bin Muhamed

Jawatan : Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak

Tarikh Lahir : 13 Mac 1972

Tempat Kelahiran : Pantai Remis, Perak

Nama isteri : Pn. Azizah binti Ibrahim

Anak : Empat orang

Email : amiruddin.muhamed@maiamp.gov.my

Kelulusan akademik

1979-1985 – Sekolah Kebangsaan Pengkalan Bahru, Pantai Remis, Perak

1986-1988 – Sekolah Menengah Dato’ Idris, Pengkalan Baru, Pantai Remis, Perak

1988-1992 – Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar, Perak (SRP/SPM/STPM)

1992-1996 – Bachelor of Accountancy (Hons), University Kebangsaan Malaysia

1999 – Diploma in Public Management (INTAN)

2002-2003 – Master of Economics (Economics Development), Universiti Kebangsaan Malaysia

2009-2013 – Phd in Accounting and Finance, Durham University Business School, United Kingdom

Pengalaman kerja:

1996 – Mei 1998 – Business Focus Group Sdn Bhd (attach in Naval Dockyard, Lumut ) Corporate Planning Division

Mei 1998-2003 – Accountant General Department, Ministry of Finance Accounting and Management Development Division

Jan 2004-Jun 2005 – Master of Economics (Development Economics) Universiti Kebangsaan Malaysia

Jun-Julai 2005 – Economic Analysis and International Division, Ministry of Finance

Julai 2005-August 2009 – Investment, MKD (INC) and Privatization Division, Ministry of Finance

Oktober 2009-2013 – Ph.D in Accounting and Finance, Durham University, UK

Mei 2013-Disember 2013 – National Strategy Unit, Ministry of Finance

Januari 2014-now –  Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Kaedah duduk pejabat tunggu permohonan sudah tidak relevan

MENDEPANI senario berorganisasi di zaman serba moden, sesebuah institusi tidak dapat lari daripada rungutan dan tuntutan supaya ia bebas dari masalah birokrasi, tidak kompeten, lambat bertindak dan tergelincir daripada memenuhi tanggungjawab hakiki.

  

Ia akan menjadi lebih mencabar jika sesebuah institusi itu meletakkan kepentingan agama serta kemashalatan umat sebagai paksi dan visi penubuhannya.

   Hakikat itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk),  Dr Amiruddin Muhamed yang menekankan pentingnya pendekatan transformasi pemikiran dan gerak kerja institusi tersebut dalam berdepan cabaran semasa.

   Pendekatan itu katanya, wajar diambil seiring dengan ekspetasi tinggi masyarakat serta kecenderungan mereka menilai sejauhmana institusi seperti MAIPk bersungguh-sungguh berdamping dan membantu golongan memerlukan.

   “Kita kena ada satu transformasi dari segi pemikiran dan gerak kerja, terutamanya dalam melaksanakan satu-satu keputusan yang dibuat berhubungkait golongan asnaf.

   “Kita perlu lebih mendekati kelompok-kelompok asnaf ini dan memastikan keadilan dalam agihan zakat itu sendiri. Ini bermaksud bahawa kita tidak lagi boleh duduk di pejabat menunggu permohonan sampai, tetapi kita perlu lebih proaktif dalam mencari dan mendekati golongan ini,” katanya kepada Suara Perak baru-baru ini.

   Sehubungan dengan itu, menurut Dr Amiruddin, MAIPk telah menubuhkan Skuad Prihatin Asnaf pada 19 Februari 2014 yang bertanggungjawab melaksanakan gerak kerja hampir setiap minggu mencari dan mendekati golongan asnaf dan fakir miskin, termasuk ibu-ibu tunggal yang amat memerlukan bantuan bagi menyara hidup keluarga mereka.

   “Hampir setiap minggu kita berusaha menjejaki golongan asnaf ini bagi memastikan tiada yang terpinggir dalam arus pembangunan di Perak dan tiada yang tidak mendapat pembelaan,” ujarnya.

   Beliau memberikan contoh, tahun lepas MAIPk telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM125 juta dan daripada jumlah itu sebanyak RM72 juta disalurkan kepada asnaf fakir miskin.

   “Jumlah  yang kita belanjakan pada tahun lepas ialah  98 peratus daripada yang diperuntukkan untuk memberi bantuan kepada golongan ini,” tambahnya.

   Beliau menjelaskan, terdapat dua bentuk asnaf iaitu satu golongan mereka yang tidak produktif sakit terlantar seperti kaki terpaksa dipotong dan memerlukan bantuan saraan hidup secara bulanan bagi memastikan mereka cukup menampung keperluan.

   Kedua pula, katanya, ialah kelompok asnaf yang masih lagi produktif kerana sihat tubuh badan.

   “Kelompok ini tidak mampu menanggung diri mereka kerana tidak ada peluang dan wang dan hanya tinggal dalam kelompok kemiskinan yang diwarisi daripada bapanya dan persekitaran mereka,” jelasnya.

Latihan Kemahiran Untuk Anak Asnaf

Dr Amiruddin berkata, bagi golongan asnaf yang terlantar sakit, pihak MAIPk mengambil langkah membantu menghantar anak-anak mereka menjalani latihan kemahiran supaya apabila keluar bekerja  nanti dapat membantu keluarga mereka.

   Beliau memberitahu, tahun lepas, MAIPk telah menghantar 20 orang anak fakir miskin menjalani kursus kemahiran minyak dan gas tahap enam di Technology Park  Malaysia di Kuala Lumpur.

   “Kita menjangkakan mereka yang tamat menjalani kursus itu akan diambil bekerja oleh syarikat besar dengan  pendapatan bulanan mencecah RM4,000, sekaligus berupaya membantu keluarga mereka,” katanya.

   Beliau menambah, tahun ini, pihaknya bercadang menghantar 30 orang lagi anak fakir miskin untuk menjalani kursus kren beroda dan berantai bagi membolehkan mereka memperolehi pendapatan lumayan untuk membantu keluarga.

   Bagi kelompok asnaf yang produktif, MAIPk berusaha membantu mereka dengan memberikan modal dan bimbingan untuk membuka perniagaan secara kecil-kecilan sehingga menjadi usahawan yang berjaya.

   “Alhamdulillah, menerusi bantuan dan tindakan susulan yang diambil, kita telah berjaya melahirkan 25 usahawan asnaf dalam pelbagai bidang, termasuk makanan,” kata Dr Amiruddin.

   Beliau memberikan contoh, salah seorang daripada mereka yang menjadi usahawan bidang ukiran batu nisan di Bagan Serai.

   “Dulu asnaf miskin ini hanya mempunyai kemahiran mengukir batu nisan yang diwarisi keluarganya tetapi tidak mempunyai modal kewangan, tetapi MAIPk telah membantunya  dengan menyediakan mesin berharga RM20,000.

   “Kini asnaf ini sudah keluar daripada kepompong kemiskinan kerana menjadi usahawan berjaya setelah mendapat banyak tempahan batu nisan daripada masyarakat Islam,” katanya.

Ibu Tunggal Tidak Dipinggirkan

Beliau memberitahu, MAIPk turut tidak meminggirkan golongan ibu-ibu tunggal kerana daripada kajian yang dijalankan golongan ibu tunggal merupakan golongan yang paling bermotivasi dan produktif.

   “Kita bantu mereka ini menjalankan perniagaan seperti membuka kedai jahitan, spa kecantikan dan perniagaan produk makanan,” ujarnya.

   Terbaru, katanya, MAIPk telah melancarkan produk makanan yang dihasilkan oleh ibu-ibu tunggal ini setelah mereka berjaya menjadi usahawan makanan menerusi bantuan majlis itu.

   Dr Aminuddin memberitahu, selain membantu golongan asnaf fakir miskin, MAIPk turut membantu menyediakan rumah baharu kepada golongan fakir miskin apabila membina 237 buah rumah berharga antara RM38,000 dan RM44,000 tahun lalu.

   “Kita juga turut membaik pulih 450 buah rumah keluarga miskin yang tidak berkemampuan pada tahun lalu,” tambahnya.

   Menurut beliau, selain daripada bantuan kepada golongan yang memerlukan, MAIPk juga bercadang untuk membangunkan tanah-tanah wakaf di negeri ini tahun hadapan, yang berpotensi untuk dibangunkan bagi kepentingan umat Islam.