KUALA KANGSAR – Tindakan Kerajaan Perak memberikan projek kepada syarikat konsesi diibaratkan seperti menutup periuk nasi kontraktor-kontraktor kecil dalam negeri ini lebih-lebih lagi kontraktor kecil kelas G1.

Pengerusi Nadi Rakyat Parlimen Kuala Kangsar merangkap wakil, Kontraktor Kecil Kelas G1, Parlimen Kuala Kangsar, Wan Zarina Abd Rajak berkata, kerajaan sepatutnya mengutamakan kontraktor kecil dalam pemberian projek melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kami menerima maklumat kerajaan negeri telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat konsesi bernilai RM17 juta melibatkan projek penyelenggaraan jalan-jalan PBT seluruh Perak.

“Bila ini berlaku kami kontraktor kecil terutamanya kelas G1 tidak mempunyai sebarang projek kerana ia sudah diberikan kepada konsesi melainkan kami merayu kepada konsesi untuk memberikan kami projek,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Wan Zarina, situasi ini sama seperti apa yang berlaku dua tahun lalu apabila kerajaan negeri ketika itu memberikan projek kepada sebuah syarikat konsesi dan mengetepikan kontraktor kecil.

“Syarikat tersebut kononnya bermurah hati dan membuat cabutan kalangan kontraktor untuk membahagikan projek yang mereka dapat tapi sayangnya hampir dua tahun kami masih tidak menerima sebarang projek.

“Apa kemungkinan peristiwa sama akan berulang lagi dengan kerajaan negeri sekarang? Kami tidak mendapat projek dan jika diberikan oleh syarikat konsesi keuntungan kami hanyalah sedikit kerana mereka mengambil persen,” katanya.

Justeru itu, pihaknya mewakili kontraktor kecil kelas G1 di Kuala Kangsar menzahirkan rasa kecewa dan dukacita dengan situasi ini serta menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan negeri perlu mengembalikan projek kepada PBT daerah masing-masing dan PBT akan membuka tawaran projek kepada kontraktor tanpa melalui konsesi atau orang tengah yang mengaut keuntungan dan kami ditindas,” katanya – sinar harian