KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pelancaran saluran baharu RTM menerusi TV OKEY memberi lebih banyak ruang untuk menyiarkan mesej yang lebih berkesan menerusi bahasa tempatan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, ini kerana selain menggunakan bahasa kebangsaan, penggunaan bahasa tempatan dilihat antara cara berkesan untuk menyampaikan apa juga mesej kepada rakyat.
“Di Sabah sahaja, kita mempunyai lebih 52 etnik, manakala Sarawak 27 etnik dengan 50 bahasa. Jika sebelum ini, kaum Kadazan dan Iban hanya boleh dengar berita dua kali sehari melalui RTM dan kumpulan lain tiada peluang.
“Bagaimanapun, dengan adanya saluran baharu ini, lebih banyak program menggunakan bahasa kaum lain seperti Dusun dan Bajau diketengahkan,” katanya ketika melancarkan TV OKEY, di sini, sebentar tadi.

Najib berkata, TV OKEY mampu meningkatkan hubungan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat serta membangunkan industri kreatif di Sabah dan Sarawak.

“TV OKEY mampu membangunkan industri kreatif di Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua negeri ini kaya dengan khazanah yang boleh diketengahkan menerusi industri itu.

“Saluran baharu ini juga memberi tumpuan kepada masyarakat akar umbi di Sabah dan Sarawak untuk menyampaikan apa juga dalam isi hati rakyat kepada pemimpin.

“Disebabkan itu, saya tertarik dengan nama saluran baharu ini – OKEY. Bagi kita apa yang penting rakyat rasa okey, jadi kita pun akan rasa okey,” katanya – berita harian