BAGAN DATUK: Rakyat harus segera mengubah persepsi kononnya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai pemberi pinjaman dan pengutip hutang semata-mata.

Sebaliknya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perbadanan itu diwujudkan sebagai tabung pendidikan untuk membantu proses pembiayaan mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Menurut beliau, kewujudan Skim Simpanan Pendidikan Malaysia (SSPN) yang diilhamkan oleh PTPTN membuktikan kelengkapan prasarana dan persiapan Malaysia untuk membantu meringankan beban pinjaman pelajaran.

“Komitmen kerajaan dalam membantu rakyat sebenarnya melebihi nilai komersial, nilai perbankan dan nilai yang ditetapkan oleh institusi, justeru jika terdapat mana-mana defaulters, mereka harus bertanggungjawab untuk membayar hutang kepada PTPTN.

“Hutang ini bukan kepada PTPTN, bukan kepada kerajaan sebaliknya hutang kepada rakyat Malaysia yang akan melanjutkan pengajian kelak,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Geran Sepadan dan Kempen Jom Menabung Bersama Tabung Pendidikan di Dewan MPTI, Sungai Sumun di sini pada petang Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh PTPTN untuk memberi panduan tabungan pendidikan, termasuk penubuhan tabung pendidikan SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Menurutnya, ibubapa yang melabur di dalam SSPN juga harus menyedari bahawa PTPTN akan membantu dari segi pembayaran dividen bernilai tinggi jika dibandingkan dengan mana-mana institusi kewangan lain.

“Saya yakin, tidak ada yang komited selain PTPTN kerana dalam masa setahun, purata 200,000 pelajar berpeluang melanjutkan pengajian dan amaun pinjaman yang diluluskan iaitu RM48.5 billion, merupakan satu jumlah yang cukup besar.

“Malah, dalam majlis pelancaran hari ini mereka telah memberikan sumbangan bernilai RM200,000 untuk 2,000 akaun percuma untuk anak-anak di Bagan Datuk,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menyeru mereka yang masih berhutang dengan PTPTN supaya membuat bayaran yang sepatutnya.

“Saya faham ada yang terpaksa mengagihkan pendapatan mereka untuk pelbagai komitmen tetapi hutang itu wajib dibayar,” katanya.