IPOH: Umat Islam perlu mengubah persepsi bahawa masjid dan surau hanya eksklusif untuk orang Melayu dan Islam semata-mata.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi, masjid telah dibuka kepada orang bukan Islam.

 

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja boleh menghilangkan persepsi negatif sekaligus menarik bukan Islam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam.

“Walaupun dia bukan orang Islam, lama-lama nanti dia akan terimalah Islam tu, salah kita hari ini, sebab kita punya ketuanan kuat sangat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Surau An-Nur Desa Sri Ampang di sini, hari ini.

 

Hadir sama Penaung Surau An-Nur, Datuk Roshidi Hashim dan pengerusinya, Isham Sharudin.

 

Ir Nizar memberitahu, sebenarnya di dalam Islam tiada ketuanan bangsa seperti ketuanan Melayu tetapi hanya dua sahaja ketuanan yang dibenarkan di dalam Islam iaitu ketuanan syariah dan ketuanan ummah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat menyambut baik usaha pihak pengurusan Surau An-Nur yang turut menjemput penganut agama lain untuk turut serta di dalam majlis sambutan Aidilfitri di surau berkenaan.

“Di Malaysia ini, kalau kita boleh buka masjid kepada orang bukan Islam, dia akan berubah nanti, tidak akan ada lagi ketuanan-ketuanan Melayu yang mengasingkan dan menjauhkan kita daripada orang bukan Islam,” ujarnya.

Sementara itu, Isham memberitahu, majlis sambutan Aidilfitri telah diadakan di surau berkenaan sejak tiga tahun lalu tetapi tahun ini, buat pertama kali mereka menjemput jiran-jiran yang bukan beragama Islam.

“Insya Allah, kita akan teruskan program seperti ini di tahun-tahun akan datang bagi merapatkan silaturrahim antara semua jiran yang tinggal di taman-taman di sekitar surau ini,” katanya.