IPOH: Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak disaran membentuk blueprint (rangka pelan) pertanian mengikut kekuatan kawasan masing-masing bagi mengangkat taraf sektor itu yang selama ini dilabelkan sebagai lubuk kemiskinan.

Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN – Changkat Jong) berkata, golongan petani sering menghadapi pelbagai cabaran dan risiko tersendiri sedangkan sektor itu merupakan sandaran kepada bekalan makanan negara.

“Tindakan bersepadu wajar dilaksanakan kerana sektor pertanian tidak harus terus menerus dilabel sebagai lubuk kemiskinan, walaupun secara dasarnya terlihat baik belaka namun masih ada kelompongan dalam pelaksanaanya.

Kebanyakannya sektor pertanian merupakan jawatan utama rakyat, jika boleh setiap DUN perlu kenal pasti keistimewaan dan kekuatan pertanian untuk dijadikan sebagai sumber kekayaan baharu negara,” katanya semasa perbahasan dalam Sidang DUN pada Rabu.

Dalam pada itu, Azhar mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa pemandu bagi merangka pelan tindakan strategik pemerkasaan sektor pertanian ditubuhkan di negeri ini.

“Sebagai contoh di kawasan saya (Changkat Jong), penanaman nenas di Kampung Selabak sebelum ini dilakukan secara perseorangan namun kini sudah dilaksana secara berkelompok.

“Ia melibatkan sekurang-kurangnya enam jenis nenas dan insya Allah akan dituai pada Ogos nanti. Oleh itu saya berharap agar sektor pertanian tidak dipinggirkan dan diwujudkan kesepaduan dalam membantu golongan petani,” ujarnya.