IPOH – Peniaga medan selera di Stadium Perak akur dengan arahan pindah yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke tapak sementara berhampiran kawasan parkir bagi memberi laluan pada kerja ubah suai Kompleks Sukan MBI menjelang persiapan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Peniaga, Abudin Ropee, 55, berkata, dia akur dengan arahan untuk berpindah ke tapak sementara yang dicadangkan.

“Walaupun saya berpindah, orang tetap datang ke gerai saya.

“Lagipun pelanggan faham kami pindah ini untuk sementara waktu sebab kami dimaklumkan gerai baharu lebih canggih berbanding dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, usaha pengubahsuaian tepat pada masanya kerana ia dilihat seiring dengan kerja-kerja penambahbaikan di Kompleks Sukan MBI.

Menurutnya, kerja-kerja berkenaan juga secara tidak langsung bakal membantu mempromosikan lagi Perak kepada masyarakat luar.

“Lagipun sekarang ni Tahun Melawat Perak, tahun depan pula Sukma, jadi pelancong dah nampak pembangunan yang kita ada.

“Secara tak langsung, faktor ini juga akan menarik semula mereka untuk datang pada tahun hadapan,” katanya.

Peniaga lain, Normah Abu Bakar, 49, berkata, dia gembira dengan kerja-kerja pengubahsuai yang dilakukan.

Katanya, kerja-kerja tersebut secara tak langsung membantu menyelesaikan banyak perkara seperti masalah pendawaian yang telah lama.

“Dah lama tak upgrade. Sebelum ini ayah saya telah berniaga di sini sejak 1987, kemudian saya meneruskan perniagaannya.

“Apa pun, saya rasa gerai baharu ini mungkin lebih cantik berbanding sebelum ini. tak sabar rasanya nak kembali berniaga di tempat lama,” katanya.

Ditanya mengenai kunjungan pelanggan, Normah berkata, perkara berkenaan tidak begitu serius kerana gerainya masih lagi menerima kunjungan pelanggan cuma mereka mengadu panas.

Dalam pada itu, dia sempat memohon jasa baik MBI agar menempatkan beberapa pengawal keselamatan di kawasan berkenaan bagi menjaga barang niaga yang ditinggalkan.

-Sinar Harian