IPOH: Kerajaan negeri Perak meminta rakyat di negeri ini, khususnya yang ditinggal di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), supaya mengubah tabiat suka membuang sampah merata-rata tempat.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat-tempat pembuangan sampah haram di tepi jalan-jalan utama.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta PBT seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil tindakan tegas bagi menangani masalah tersebut.

“MBI memaklumkan terdapat kenderaan tertentu seperti lori kecil dan kereta yang membawa sampah dan dibuang di kawasan berhampiran tepi jalan, ini sangat tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu.

Menurut beliau, tangungjawab menjaga kebersihan adalah tanggungjawab semua pihak, termasuk rakyat, bukan hanya tanggungjawab PBT.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri tidak mahu, sekiranya tindakan tegas diambil, ia dijadikan isu politik oleh pihak tertentu ataupun alasan kononnya PBT tidak menyediakan tempat pembuangan sampah yang mencukupi.

“Ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan membuang sampah di merata-rata tempat, seperti yang pernah saya lihat berlaku longgokan sampah di tepi jalan utama,” ujarnya.

Menurut beliau, walaupun masalah longgokan sampah haram telah berlarutan sejak sekian lama, tindakan mengatasinya dan memberi pendidikan akan diteruskan sehingga kebersihan menjadi budaya kehidupan rakyat.

Tambahnya, peruntukan perundangan yang ada mungkin mencukupi untuk menangani masalah tersebut tetapi kerajaan negeri mahu menggunakan pendekatan mendidik, seperti yang dilaksanakan di beberapa buah negara lain.

“Ini berkaitan masalah habit atau sikap setiap orang dan saya mengharapkan Perak akan mempunyai warga yang sentiasa memberi perhatian terhadap kebersihan negeri dan bandaraya Ipoh.

“Walaupun ia sudah menjadi perkara yang begitu lama tetapi kita perlu teruskan, jangan berhenti di satu noktah kerana hal yang berkaitan dengan pembentukan habit, tidak boleh diubah dalam semalaman, ia perlu dilakukan berterusan,” katanya.