KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan ucapan penggulungan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 merupakan yang terbaik pernah beliau sampaikan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu berkata, dalam penggulungan tersebut Najib telah menyentuh beberapa persoalan utama yang menjadi keprihatinan masyarakat.

“Bukan sahaja persoalan di Malaysia tetapi juga antarabangsa, khususnya memberi fokus kepada Myanmar berkenaan kezaliman yang dilakukan oleh rejim di sana terhadap etnik Rohingya.

“Presiden telah menujukkan sifat keterbukaan dan berjiwa besar, beliau memanggil semua masyarakat serta umat Islam untuk bersatu menentang keganasan berkenaan,” katanya pada pemberita selepas tamat PAU 2016 di PWTC.

Dalam pada itu, Dr Zambry turut memberitahu, ahli UMNO semua peringkat seharusnya mengambil serius konsep wala’ yang dilaungkan oleh Najib kerana ia merupakan indikator Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung tidak lama lagi.

“Beliau telah mengingatkan semula prinsip wala’ iaitu kesetiaan di kalangan ahli parti, termasuk mengetahui prinsip serta struktur parti.

“Ini merupakan merupakan panduan disediakan beliau bagi kita membuat persiapan dalam menghadapai PRU akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman berkata, Najib secara tidak langsung telah membunyikan semboyan awal meminta ahli-ahli akar umbi bersiap siaga menghadapai PRU-14.

“Mesej utama presiden minta akar umbi disentuh oleh kerajaan negeri serta pusat dan semboyan awal telah dibunyikan oleh beliau agar kita semua memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita ahli UMNO perlu memulakan kerja-kerja mengambil hati rakyat kerana pulangannya itu nanti akan kita dapat pada PRU yang dijangakan tidak lama lagi,” katanya beliau ketika ditemui pemberita.