Wawancara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), telah mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat Cina.

Wawancara itu diterbitkan akhbar Cina, Sin Chew Daily hari ini dengan tajuk: “Tun Mahathir: Pengiktirafan UEC perlu pertimbangkan perasaan orang Melayu”.

UEC adalah peperiksaan yang diambil oleh pelajar-pelajar di sekolah-sekolah persendirian Cina.

Laporan itu dipetik akhbar lain, termasuk Borneo Post dengan tajuk: “Perasaan orang Melayu mesti dipertimbangkan dalam mengiktiraf UEC” dan The Edge Markets di bawah tajuk: “Pengiktirafan UEC perlu pertimbangkan perasaan orang Melayu: Dr M” .

Berikutan itu, MCA hari ini mempersoalkan pendirian pemimpin DAP dalam kerajaan dan bertanya sama ada Mahathir telah mengambil kira perasaan masyarakat Cina.

Malaysiakini menghubungi Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk meminta penjelasan mengenai perkara itu. PMO kemudian menghantar satu salinan rakaman wawancara itu.

Malaysiakini menerbitkan semula transkrip rakaman berkenaan dengan soalan mengenai UEC seperti di bawah:

Wartawan 1: Sekarang anda menyebut tentang pendidikan, dalam manifesto PH ia termasuk pengiktirafan UEC dan sekolah-sekolah persendirian Cina. Jadi bagaimana status pengiktirafan UEC?

Mahathir: Itu (audio tidak jelas) dinyatakan – kita mengiktirafnya. Saya kata berkali-kali kita mengiktiraf ijazah asing, kita mengiktiraf sijil Cambridge, kita mengiktiraf juga sijil-sijil yang dikeluarkan oleh negara-negara lain.

Tetapi anda minta ini untuk diterima oleh kerajaan. Untuk tahap tertentu, ini telah diterima tetapi anda mesti mempunyai penguasaan asas bahasa Melayu. Kamu lihat, kamu mesti mempunyai itu.

Dan peperiksaan harus mencerminkan keadaan di negara ini, kamu tidak boleh mengambil peperiksaan asing dari negara asing dan menggunakannya sebagai kelayakan. Yang, tiada siapa melakukannya.

Wartawan 2: Tun, sebenarnya saya seorang pelajar UEC, saya belajar di sekolah persendirian Cina. Saya fikir sukatan pelajaran sejarah agak berbeza kerana beberapa sejarah yang kami pelajari adalah dari luar negara seperti, kami belajar sejarah China, sejarah dunia tetapi kami juga belajar sejarah Malaysia dan kami mengkaji sejarah di Asia Tenggara. Kami ingin tahu kenapa kerajaan, sehingga sekarang, mereka tidak dapat mengiktiraf UEC dan mengapa orang Melayu begitu sensitif (mengenai UEC).

Mahathir: Orang Melayu apabila mereka bersetuju tentang kemerdekaan, mereka bersetuju bahawa bukan Melayu juga harus diberi kewarganegaraan dan sememangnya mereka berikan kewarganegaraan lebih daripada orang yang layak, tetapi mereka percaya dengan berbuat demikian, kita akan mempunyai negara dengan satu bahasa, satu budaya dan asas undang-undang dan pemahaman bahawa semua adalah rakyat Malaysia.

Tetapi mereka mendapati bahawa walaupun bahasa (audio tidak jelas) dan semua itu tidak disokong dengan baik dan banyak orang yang sehingga sekarang tidak dapat berbahasa Melayu sama sekali tetapi kita menerima mereka. Saya fikir berapa banyak lagi yang kamu mahu minta mereka terima?

Negara ini agak berbeza daripada negara-negara lain. Negara-negara lain pelbagai bangsa tetapi mereka bercakap satu bahasa kebangsaan.

Wartawan 2: Jadi, apakah objektif Pakatan Harapan untuk memenangi sokongan Melayu menyebabkan janji PH kepada masyarakat Cina lebih sukar untuk dicapai, seperti UEC ini?

Mahathir: Ya, tetapi kita cuba kotakan (janji), bukan kita tidak buat. Kamu membuat perbandingan antara Malaysia dengan jiran-jirannya. Di negara lain, mereka tidak membenarkan sekolah Cina, mereka tidak membenarkan walaupun papan tanda, kadang-kadang. Hanya baru-baru ini mereka meniru kita.

Jika kamu bertanya kepada orang-orang asal China di beberapa negara ini, mereka ingin berpindah ke Malaysia. Mereka mengatakan di sini mereka lebih dikenali kerana kaum mereka diiktiraf.

Wartawan 1: Jadi Tun, adakah anda akan memberi jaminan kepada masyarakat Cina bahawa kerajaan PH akan mengiktiraf UEC, bolehkah anda memberi jaminan?

Mahathir: Ya, saya fikir kita sedar sejauh mana kita boleh. Perhatikan, terdapat perbezaan – salah satu perbezaan yang paling teruk ialah perbezaan dalam pengagihan kekayaan di negara ini yang telah kami cuba perbetulkan. Saya mengakui banyak kesilapan dengan orang Melayu tetapi yang satu ini (perbezaan ekonomi) kamu tidak betulkan dan kamu sentiasa membetulkan satu ini sahaja (UEC).

Yang satu ini sangat mudah untuk anda betulkan – bahasa atau UEC atau apa sahaja. Itu sangat mudah, macam buat garisan dengan pen, tetapi untuk membawa tiga kaum di Malaysia, ditambah bumiputera di Sabah dan Sarawak untuk pembangunan ekonomi yang sama memerlukan masa.

Kamu tahu, mereka merasakan mereka semakin kurang dan kurang. Jurang ketidaksamaan tidak semakin kurang, semakin banyak kerana sejak kita bermula, dianggarkan orang Melayu mempunyai dua peratus kekayaan, orang Cina memiliki 30 peratus dan orang Eropah (dan) orang asing mempunyai kira-kira 40 peratus.

Tetapi apabila kamu meningkat misal kata 10 peratus, 10 peratus daripada dua peratus hanya 0.2 (peratus) tetapi 10 peratus daripada 30 peratus adalah tiga (peratus). Jadi, perbezaannya adalah seperti ini. Kamu boleh lihat sekeliling. Siapa yang memiliki semua ini?

Ingatlah bahawa di negara lain, mereka merusuh dan mereka bergaduh, mereka berbunuhan. Tetapi di Malaysia, orang Melayu, Cina dan India boleh hidup dan bekerjasama. Bahkan kita serapkan beberapa budaya kamu, sekarang kita menggunakan copstik – Malaysia kini