LUMUT – Seorang pekerja kontrak membaik pulih Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung di sini ditahan polis semalam ekoran mengugut dan membuat provokasi menggunakan pisau lipat terhadap Pegawai Pejabat Kesihatan Seri Manjung yang menyamannya kerana merokok di premis kerajaan itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu warga tempatan berusia 33 tahun itu disaman selepas empat pegawai kesihatan yang menjalankan Operasi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di premis kerajaan, terserempak dengan lelaki berkenaan yang sedang merokok di pintu belakang bangunan tersebut.

“Semua pegawai berkenaan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa kepada lelaki itu dan meminta rokok sebagai exhibit (bahan bukti) serta meminta kad pengenalan.

Bagaimanapun sebaik pegawai kesihatan menulis notis saman, lelaki itu terus membuat provokasi dengan menangkap gambar dan mengugut akan mencari pengadu di luar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tengku Mohd Zailan berkata lelaki itu yang tidak berpuas hati selepas disaman pihak berkuasa kemudian bertindak menconteng bahagian tanda tangan sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.

“Semasa kesemua pegawai kesihatan hendak meninggalkan kawasan tersebut, lelaki tersebut telah bermain-main pisau lipat di hadapan kesemua mereka sehingga menimbulkan ketakutan,” katanya.

Tengku Mohd Zailan berkata pegawai berkenaan membuat laporan polis dan suspek telah ditahan pada hari yang sama di bawah Seksyan 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

– Bernama