SIK: Ular sawa seberat 50 kilogram (kg) dan panjang enam meter ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas kekenyangan dipercayai baharu menelan babi hutan di kebun penduduk hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari di Felcra Bendang Man dekat sini, ular sawa itu ditemui pemilik kebun dikenali Mohd Yusuf yang ketika itu membersihkan kebunnya.

Pegawai APM Sik, Kapten (PA) Mohd Mukhrij Md Sabir berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.40 tengah hari dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.

Menurutnya, ketika kejadian lelaki terbabit sedang menebas semak samun di kebunnya sebelum terlihat objek bergerak dan dia yang memeriksa kemudiannya terkejut melihat seekor ular sawa kekenyangan.

“Lelaki itu turut melibas ekor ular itu hingga putus namun mujur tiada apa-apa berlaku kerana ular itu yang kekenyangan tidak mampu bergerak.

“Ular itu dipercayai datang ke kawasan kebun itu untuk mencari makanan dan anggota APM mengambil masa 20 minit menangkap dan membawa keluar ular itu dari kawasan semak,” katanya.