SEREMBAN: Seramai 62 orang diberi rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Mantin di sini, akibat gatal kulit, manakala beberapa penduduk di Taman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Siliau Jaya, Port Dickson turut mengalami gejala sama sejak semalam, akibat serangan ulat bulu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), Dr Zainudin Mohd Ali berkata, kejadian berpunca dengan kehadiran ulat bulu yang banyak berikutan musim pembiakan rama-rama.

Katanya, ulat bulu berkenaan biasanya berada di pokok yang berdaun tetapi jatuh ke tanah atau diterbangkan angin sebelum terkena kepada manusia yang berada di kawasan berhampiran.

“Mereka yang terkena ulat bulu itu akan mengalami kegatalan pada kulit badan, manakala mereka yang mempunyai alahan mungkin mempunyai reaksi yang serius seperti susah bernafas.

“Mangsa yang menghidap simptom seperti ini perlu segera dapatkan rawatan di klinik berhampiran untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, setakat ini pihaknya mengesan tiga lokasi yang mengalami masalah itu iaitu di Kampung Pantai, Seremban; Sekolah Kebangsaan Pantai, Batu 8 Jalan Jelebu dan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Seri Perkasa Batu 8, Jalan Seremban Mantin.

“Pejabat Kesihatan Seremban juga sudah mengambil tindakan kawalan dengan meracun bagi bunuh serangga kecil di lokasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Taman PPR Siliau Jaya, Fadzir Din, 50, berkata serangan ulat bulu di kawasan itu berlaku sejak seminggu lalu dan pelbagai cara dilakukan untuk mengatasinya tetapi kurang berkesan.

“Kami baru sahaja meracun kawasan sekitar seperti surau, sekitar rumah penduduk tetapi hanya dua hari sahaja ia hilang dan muncul kembali,” katanya.

Menurutnya, kehadiran serangga itu turut menganggu keselesaan dan menimbulkan kebimbangan penduduk kerana ia membanjiri longkang malah ada yang masuk ke dalam rumah dan surau.

“Sebenarnya kami tak tahu dari mana ulat bulu ini datang tetapi ramai penduduk mengalami gatal kulit badan,” katanya – berita harian