SLIM RIVER: Lebih 5,000 hektar ladang sawit di FELDA Wilayah Trolak dekat sini, terdedah kepada ancaman ulat bulu yang boleh merosakkan hasil tanaman sekali gus menjejaskan pendapatan peneroka.

Serangan ulat bulu boleh menyebabkan pokok menjadi kering dalam tempoh seminggu dan tempoh pemulihan mengambil masa setahun sebelum mampu mengeluarkan semula hasil.

Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib, berkata masalah itu bukan sahaja di Perak, tetapi juga beberapa negeri lain dan perlu diatasi segera.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, berkata dua kaedah akan dilakukan FELDA bagi mengatasi masalah itu, iaitu teknik semburan udara dan suntikan ubat pada batang pokok.

“Untuk dua kaedah ini, ia memerlukan masa yang sesuai bagi membunuh ulat bulu. Jika tidak tepat pada masanya, usaha itu tidak akan memberi kesan ke atas ulat bulu berkenaan.

“Saya sudah menerima laporan dan meninjau masalah serta menghubungi Ibu Pejabat FELDA bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Motivasi Ibu Bapa di Dewan Semai Bakti FELDA Besout 1, Trolak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Daerah Muallim, Saiful Bahrin Sulaiman; Pengurus Besar FELDA Wilayah Trolak, Haidir Moin dan Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Zaidi Aziz.

Mohd Khusairi berkata, beliau akan turut membangkitkan masalah itu pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FELDA pada hujung bulan ini.

Katanya, satu jawatankuasa khas peringkat kebangsaan mungkin ditubuhkan sekiranya masalah itu semakin membimbangkan.

-BeritaHarian