TAMBUN – Tiada yang menarik di kampung yang terletak di hujung Parlimen Tambun ini apabila ia hanya dikenali dengan pertanian kecil dan sekali sekala digemparkan kemunculan gajah yang tersesat dari Hutan Simpan Ulu Piah itu.

Kampung Ulu Kuang, Chemor yang terletak di sempadan daerah Sungai Siput itu sebenarnya memiliki sejarahnya sendiri.

Menyingkap di sebalik namanya, Ulu Kuang mengambil nama sempena spesis burung kuang yang banyak terdapat di kawasan hulu sungai itu.

Penduduk, Hamdan Ishak, 50, berkata, burung kuang tergolong antara burung tercantik di dunia dengan memiliki ekor yang panjang dan warnanya yang menarik.

“Berdasarkan orang lama dahulu, kampung ini mempunyai banyak spesies burung cantik itu dan mempunyai keunikannya tersendiri hingga menjadi buruan ketika itu dan dijadikan makanan istimewa.

“Disebabkan itu, nama kampung ini berdasarkan nama burung dari keluarga Phasianidae itu dan Ulu pula ada kawasan kampung yang terletak di hulu sungai yang turut dinamakan sebagai Sungai Kuang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Menurutnya, spesies itu sudah lagi tidak kelihatan apabila habitat mereka dalam hutan telah diterokai.

“Haiwan berdarah panas yang sangat pemalu itu sudah tidak lagi kelihatan di kampung ini. Populasi yang semakin berkurangan menyebabkan ia telah dikategorikan sebagai spesis burung terancam negara,” katanya.

Hasil bijih timah

Hamdan berkata, kampung itu mula diteroka sejak tahun 1916 oleh penduduk yang diketuai oleh Ngah Osman yang merupakan ketua kampung pertama yang berkhidmat sehingga tahun 1925.

“Ia diteroka bersama lima pemuda Melayu yang mahu mendulang bijih timah di sungai berhampiran sebelum menjadi tumpuan termasuk penduduk luar kerana hasil buminya.

“Dari mendulang hinggalah melombong dan kesannya beberapa lombong yang ada di kampung ini, kini dijadikan sebagai kolam ternakan ikan untuk penduduk,” katanya.

Menurutnya, orang lama turut hairan apabila terdapatnya paip besar pada bukit berhampiran kampung ini.

“Ada juga cerita terdapatnya lombong emas di kawasan berhampiran, namun kesahihan tidak dapat dipastikan tetapi kewujudan paip besar itu menghairankan apabila kemudahan pada waktu itu amatlah terhad,” katanya.

Khazanah alam boleh dimajukan

Hamdan berkata, kampungnya masih boleh dimajukan apabila mempunyai keindahan sungainya yang jernih serta mata air panas untuk beriadah bersama keluarga.

“Keindahan ini masih terpelihara meskipun jauh dari pembangunan pekan berhampiran. Sungai ini sesuai untuk sesi beriadah.

“Begitu juga dengan kolam air panas. Ia masih boleh dipopularkan kerana sesuai untuk berehat, tambahan bersebelahan dengan kesejukan air sungai,” katanya – sinar