IPOH – Umat Islam perlu memanfaatkan bidang sains, teknologi dan inovasi demi menjamin semula kemajuan pada masa hadapan.

Pengasas dan Pengarah Bibliotheca Alexandrina dan Penasihat Perpustakaan Shaikh Al-Azhar Mesir, Prof Dr Ismail Serageldin berkata, Islam pernah menjadi sebagai antara peradaban yang maju.

Malah menurutnya, ketika zaman gelap (dark ages), di Eropah suatu ketika dahulu, peberadaban Islam muncul dan membawa kemajuan dalam pelbagai bidang.

“Pada zaman itu (dark ages), ramai tokoh cendekiawan Islam turut muncul terutamanya dalam bidang sains dan kajian saintifik.

“Bagaimanapun, asalnya memang Islam, tetapi telah ditukarkan kepada Latin. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk umat Islam kembali menguasai bidang sains ,” katanya

Ismail berkata demikian pada sidang media, bagi mengulas ucapannya pada sesi pembentangan Diraja sempena Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) di Casuarina @ Meru, hari ini.

Tambah Ismail, umat Islam juga perlu memikirkan kaedah terbaik bagi mewujudkan suasana persekitaran yang bersesuaian bagi menuju masa hadapan.

Katanya, suasana sedemikian juga dilihat mampu membentuk pemikiran baharu dalam kalangan umat Islam.

“Kita sepatutnya, jangan risau soal wang (dana). Apa yang perlu kita ambil berat adalah bagaimana membentuk pemikiran sedemikian (baharu).

“Selain itu, perlu sentiasa kenal pasti bakat-bakat baru khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Berikan mereka (golongan muda), ruang dan peluang untuk terlibat dan juga memberikan idea-idea baru,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, umat Islam sewajarnya lebih fokus untuk mewujudkan institusi pendidikan seperti sekolah dan sebagainya.

Selain itu katanya, umat Islam juga perlu fokus kepada perkembangan sumber manusia.

“Inilah antara perkara yang perlu diberikan fokus. Ya, kita juga perlukan wang, tetapi ia perlu seiring ilmu pendidikan termasuk perkembangan sumber manusia,” katanya – sinar