IPOH – Umat Islam, khususnya di Perak diharap dapat mengukuhkan ikatan perpaduan dalam kehidupan seharian.

Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), Abdul Farid Salleh berkata, ikatan perpaduan berkenaan diharapkan mampu menjamin keselamatan serta kesejahteraan umat Islam.

“Untuk saudara mara kita yang syahid di Masjid An-Nur Christcurch New Zealand baru-baru ini kita doakan.

“Kepada umat Islam di sana, kukuhkanlah perpaduan termasuklah kesemua kaum muslimin muslimat di seluruh dunia,” katanya.

Abdul Farid berkata demikian ketika ditemui selesai memimpin solat jenazah ghaib di Masjid Negeri, Ipoh hari ini.

Difahamkan, solat jenazah ghaib itu turut dilaksanakan serentak di semua masjid serta surau di Perak khusus buat semua mangsa yang terkorban dalam tragedi Masjid An-Nur, Christcurch, New Zealand baru-baru ini.

Terdahulu, khutbah Jumaat bertajuk Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada: Bersama Mencegah Jenayah telah disampaikan oleh khatib jemputan iaitu Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohammad Zainal.

Turut dilancarkan adalah Tabung Bantuan Al-Aqsa anjuran Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dengan kerjasama Aman Palestin sempena Israk Mikraj di seluruh masjid di negeri ini.

Kutipan yang bermula hari ini boleh disalurkan kepada Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan Masjid Negeri Perak (08013010091983 – Bank Islam) sehingga selewat-lewatnya pada 2 April ini.

Sementara itu Abdul Farid berkata, pihaknya juga bakal menganjurkan majlis tahlil termasuk doa selamat dalam masa terdekat.

“Insya-ALLAH, kita akan adakan tahlil dan doa selamat untuk kita memohon keselamatan serta kesejahteraan kepada semua umat Islam,” katanya – sinar harian