Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Keputusan untuk meletakkan calon UMNO bertanding di kerusi DUN Hutan Melintang menggantikan calon MIC dibuat bukan atas dasar benci pada parti itu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya pertukaran itu dibuat sebagai strategi BN untuk memenangi DUN Hutan Melintang pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Menurutnya BN perlu memenangi kerusi DUN Hutan Melintang bagi memastikan kedua-dua kerusi DUN di bawah Parlimen Bagan Datuk dikuasai sepenuhnya oleh BN.

Katanya langkah itu juga diharap dapat meningkatkan majoriti kemenangan BN bagi kerusi DUN seterusnya meletakkan kerajaan negeri BN pada status lebih selesa dan selamat.

“Kita telah berikan peluang enam penggal kepada MIC sebelum ini. Bila kita kalah dua kali, kita kekurangan kerusi DUN di Perak. Jika MIC tidak dicalonkan bertanding di Hutan Melintang, ini tidak bererti kita benci kepada mereka.

Kita bukan ambil alih, kita ganti MIC dengan kerusi DUN di tempat lain. Tujuan kita tak lain tak bukan nak tambah kerusi DUN Perak.

Jadi dengan pertukaran ini kita harap Hutan Melintang akan menyumbang kerusi, dulu MIC menang sebab semua tolong, jadi kali ini mereka mesti bantu calon UMNO menang,”ujarnya lagi” kata Zahid yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit 4, Kg Parit 5, Sungai Sumun, di sini, hari ini.

Dua kerusi DUN di bawah Parlimen Bagan Datuk adalah Rungkup yang dikuasai BN manakala Hutan Melintang merupakan kerusi pembangkang.

Pada PRU-13, Kerusi DUN Hutan Melintang dimenangi S Kesavan daripada PKR pada PRU-13 dengan majoriti 1,240 mengalahkan calon BN, R Supramaniam daripada MIC dan dua calon Bebas, Azhari Abdullah dan Mat Sidi Hashim.

Pada PRU-13 juga, daripada 59 kerusi DUN yang dipertandingkan, BN memenangi 31 kerusi manakala Pakatan menguasai 28 kerusi.

Dalam perkembangkang berkaitan, Zahid mendedahkan terdapat penyusunan semula kerusi yang diwakili calon daripada parti komponen sebagai strategi untuk memastikan kemenangan besar di Perak.

“Kali ini, kita pasti dibawah pimpinan (Datuk Seri) Dr Zambry selain Hutan Melintang, (BN) akan dapat tambah kerusi DUN. Jadi, kita seru orang di negeri Perak untuk kerja kuat, selesaikan perbalahan, kita usaha kita pasti dapat.

“Tetapi kalau berbalah, di kalangan kerusi-kerusi parti komponen BN, nak kata ini kerusi aku, aku nak balik, biar aku kalah asal aku bertanding, biar aku bertanding sebab aku akan ada peruntukan…susahlah,” katanya.

BERITA BERKENAAN : PPNP Cungkil Potensi Anak Perak Dalam Bidang Pertanian