BAGAN SERAI  – UMNO bahagian menafikan dakwaan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali kononnya parti itu tidak memberikan kerjasama dan mensabotaj Ahli Parlimen itu sehingga beliau mengumumkan keluar parti semalam.

Ketuanya, Datuk Sham Mat Sahat berkata, sebaliknya Noor Azmi yang tidak memberikan kerjasama kepada parti itu sejak menjadi Ahli Parlimen setelah menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lagi.

Menurutnya, sejak itu Noor Azmi membelakangkang UMNO bahagian itu dan Barisan Nasional (BN) yang mencalonkannya pada PRU-13.

“Namun kami bersabar terhadap tindak tanduknya demi kepentingan rakyat di sini, kami mengetepikan soal peribadi.

“Kami tidak mensabotaj beliau malah membantu dan bekerja kuat pada PRU-13 dan PRU-14 sehingga beliau berjaya menang dalam kedua-dua PRU,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Noor Azmi mengumumkan keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas dengan alasan tidak mendapat kerjasama daripada UMNO bahagian selain disabotaj oleh parti.

Beliau mengumumkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan termasuk Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Sham, tindakan Noor Azmi menyebabkan rakyat marah dan menganggapnya sebagai pengkhianat kerana rakyat memilihnya dalam PRU-14 sebagai calon BN.

Katanya, lantaran itu Noor Azmi dicabar supaya meletak jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan untuk membuktikan pemimpin mana yang menjadi pilihan rakyat.

“Itu barulah ‘gentleman’ namanya. Jangan letak kepentingan peribadi mengatasi segala-galanya dan menyalahkan pihak lain atas keputusan yang dibuat,” katanya.

Sham berkata, UMNO bahagian itu tidak berkubur dengan tindakan Noor Azmi sebaliknya dapat membersihkan parti itu daripada golongan yang berjuang untuk mendapatkan projek semata-mata.

“UMNO Bagan Serai semakin mantap kerana tiada lagi ‘anai-anai’ yang merosakkan parti dan saya percaya rakyat akan terus menyokong perjuangan kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE