BAGAN SERAI– UMNO Bahagian Bagan Serai tetap utuh walaupun Ahli Parlimennya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, tiada ahli UMNO bahagian itu yang mengikut jejak langkah Noor Azmi, sekaligus membuktikan UMNO bahagian itu tetap relevan manakala ahli-ahlinya tetap setia.

Menurutnya, hanya mereka yang mempunyai kepentingan diri dan bermasalah akan cepat melompat parti dan lebih teruk mereka menyalahkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Biarlah mereka pergi meninggalkan parti, ahli-ahli yang setia akan meneruskan perjuangan. Ahli-ahli UMNO bahagian ini tetap setia, mereka tiada niat mahu menyertai parti lain,” katanya kepada Utusan baru-baru ini.

Menurutnya, wakil rakyat BN dan UMNO patut mencontohi ahli-ahli di peringkat akar umbi yang tetap setia kepada UMNO kerana banyak berjasa kepada rakyat.

Malah, Sham mendedahkan beliau sendiri pernah ditawarkan untuk melompat parti namun UMNO tetap dihatinya.

“Saya tetap setia bersama UMNO. Kita tengok perjuangan Pas, mereka tetap beristiqamah dalam perjuangan politik mereka.

“Dalam sejarah perjuangan Pas, mereka jatuh bangun, menang dan kalah namun mereka tetap setia. UMNO dan Pas akan bekerjasama dalam satu wadah perjuangan,” katanya.

Sementara itu, Sham berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) banyak melakukan kesilapan dan membohongi rakyat dan mulai sedar mereka ditipu.

Noor Azmi yang memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 172 undi mengumumkan keluar UMNO dan BN pada 24 Jun lalu.

Selepas lima bulan menjadi wakil rakyat Bebas, Noor Azmi Bersatu pada 28 November lalu. – UTUSAN ONLINE