KUALA LUMPUR: Himpunan raksasa peringkat nasional yang bakal menghimpunkan lebih 10,000 Pemuda dan Puteri UMNO, Sabtu ini adalah sebagai simbolik untuk menunjukkan kesiapsiagaan jentera sayap parti itu menyahut gendang perang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata himpunan yang akan berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dekat Pagoh, Johor itu bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia adalah pelancaran secara rasmi di peringkat akhir sebelum Parlimen dibubarkan.

“Tujuan (himpunan) ini adalah persiapan akhir kita bagi menghadapi PRU yang dijangka dalam tempoh terdekat.

“Walaupun jentera kita sudah mula (berkempen) awal, himpunan yang akan disertai lebih 10,000 Pemuda dan Puteri UMNO itu adalah simbolik untuk hadapi PRU.

“Pemuda UMNO ditahap 100 peratus sudah bersedia. Kita pun sudah berbincang dengan teliti tugas dan perkara pentadbiran. Cuma ada beberapa perkara lagi yang perlu perbincangan membabitkan penyusunan jentera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam, bermula kira-kira jam 3 petang turut dihadiri oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan Exco Pemuda pusat serta negeri.

Dalam pada itu, Khairy turut mengumumkan satu lagi program besar anjuran Pemuda UMNO pada 14 dan 15 Mac ini, iaitu Karnival Kerjaya Mega, bermatlamat memberi peluang kepada golongan belia mencari pekerjaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kini pihaknya sedang berbincang untuk mengumpulkan seberapa banyak majikan dalam usaha memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan dalam karnival itu.

Sementara itu, menjawab soalan pemberita mengenai calon muda pada PRU-14, Khairy berharap lebih ramai golongan muda diberi peluang.

“Saya harap tidak kurang (jumlah) berbanding PRU lepas. Pucuk pimpinan sudah hantar senarai calon, saya harap sebahagian besar diterima.

“(Calon yang dihantar) Ada muka baharu sebahagian besarnya. (Dalam senarai) Ada dua, tiga penyandang, sebahagian besar belum pernah jadi wakil rakyat atau calon,” katanya –  berita harian