IPOH: UMNO bersiap sedia untuk menghadapi perang saraf yang akan dimainkan oleh parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, UMNO telah pun melakukan persiapan dari segala aspek termasuk perang saraf bagi memastikan Barisan Nasional menang pada PRU-14.

“Secara keseluruhan kita memang sudah bersiap sedia kerana telah diberi arahan oleh Presiden parti sendiri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Ianya merangkumi segala persiapan di peringkat peti undi, penerangan dan bukan hanya isu itu (perang saraf) tetapi kesemuanya sedang dilaksanakan di peringkat bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis Makan Tengah Hari Sempena Tahun Baharu Cina Meraikan bekas guru-guru Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh pada Ahad.

Baru-baru ini Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui tweetnya telah mendakwa kononnya terdapat seorang menteri kanan kerajaan akan meletakkan jawatan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan tindakan Azmin itu lebih kepada perang saraf yang cuba dimainkan oleh pembangkang untuk mengoyahkan keyakinan rakyat terhadap BN.