BATU GAJAH: Walaupun Ramadan sudah semakin hampir ke penghujungnya, bubur lambuk masih tetap menjadi juadah kegemaran setiap kali berbuka puasa.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Mohd Kasim menyediakan 2,000 bungkus bubur lambuk percuma untuk penduduk di sekitar Batu Gajah pada Khamis.

Beliau sendiri mengedarkan bungkusan itu kepada pengunjung bazar Ramadan di sini, mulai jam 5 petang.

Walaupun hujan lebat, beliau dan beberapa Ahli Jawatankuasanya terus mengedarkannya sehingga habis kira-kira jam 6.45 petang.

Hamzah yang ditemui memberitahu, sebelum ini pihaknya juga mengedarkan jumlah yang sama bubur lambuk di bazar Ramadan Medan Gopeng.

“Ini merupakan acara tahunan kami dan insya Allah akan diteruskan di masa-masa akan datang,” katanya kepada Suara Perak.