PARIT: UMNO Parit yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Parit dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota dan Belanja pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tanpa masalah.

Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan, berkata, berdasarkan maklum balas pengundi di kawasan berkenaan, diyakini Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO bukan sahaja dapat mempertahankan kerusi yang ditandingi malah bakal meraih undi yang lebih memberangsangkan dalam pilihan raya itu nanti.

“Kami telah memaklumkan semua janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah ditunaikan antaranya peruntukan sebanyak RM3 juta untuk program membaiki rumah dilakukan membabitkan lebih 100 rumah.

“Selain itu, tawaran tender untuk melebarkan Jalan Siputeh-Parit membabitkan peruntukan RM75 juta telah diluluskan dan pembinaan Hospital Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar akan dibuka tender bulan depan,” katanya.

Beliau bercakap kepada BH pada majlis pelancaran ‘Excellence Immersion Project 2018’ di Dewan Iltizam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini hari ini.

Mohd Zaim yang juga Ahli Parlimen Parit, berkata UMNO Parit juga akan memperhebat program turun padang di setiap cawangan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat sebenar keadaan semasa negara.

Beliau berkata, kekalahan BN kepada pembangkang di Parlimen Parit pada Pilihan Raya Umum tahun 1999 menjadi pengajaran besar dan iktibar kepada rakyat supaya bijak untuk memilih wakil rakyat mereka.

Sementara itu, seramai 105 murid membabitkan 15 sekolah rendah di sekitar Parit menyertai program ‘Excellence Immersion Projek 2018’ anjuran Pejabat Pendidikan Perak Tengah dengan kerjasama MRSM Parit.

Pengetua MRSM Parit, Ismail Deraman, berkata program terbabit adalah sebahagian program tanggungjawab sosial MRSM dan sehingga kini lebih 200 murid dan pelajar sekolah mendapat manfaat daripada program itu.

Sebanyak lapan program akan dilaksanakan sepanjang tahun ini membabitkan ceramah keibubapaan, teknik belajar secara berkesan, Kem Syoknya Sains dan Matematik, Oh my English, Kem super Star 6A dan teknik menjawab soalan matematik.